PEMAIN skuad B-13 meraih gol pertama perlawanan. FOTO ihsan NFDP
PEMAIN skuad B-13 meraih gol pertama perlawanan. FOTO ihsan NFDP

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan Bawah 13 tahun menamatkan perlawanan kumpulan B Piala Iber 2015 dengan bergaya, apabila menewaskan pasukan tuan rumah, SC Linda-a-Velha 3-0 di Stadium Oeiras, pada Rabu.

Skuad kebangsaan di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang merangkul kejuaraan Piala Iber di Sepanyol minggu lalu, muncul juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas tiga kemenangan berturut-turut.

Skuad bawah bimbingan jurulatih Lim Teong Kim itu dijadual bertemu naib juara kumpulan F 'Os Belenenses' G dari Portugal pada perlawanan suku akhir di Kompleks Sukan Jamor, pada Jumaat.

Anak-anak didik Teong Kim sebelum ini telah mengalahkan Segeltorps IF dari Sweden 2-1 dalam perlawanan pembukaan sebelum membelasah pasukan tuan rumah, Dragon Lisboa 7-0 dalam perlawanan kedua di Kompleks Sukan Jamor di Portugal, pada Selasa.

Piala Iber kini adalah acara penting Kejohanan Bolasepak Belia Dunia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:23 AM