Zainol tengah bersama peserta yang menyertai Kejohanan Badminton Jemputan Piala Menteri Besar Perak 2019.
Zainol tengah bersama peserta yang menyertai Kejohanan Badminton Jemputan Piala Menteri Besar Perak 2019.

KEJOHANAN Badminton Jemputan Piala Menteri Besar Perak 2019 yang julung kali diadakan dimenangi Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Ipoh bermula Sabtu anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMediaPerak), berjaya menarik penyertaan 16 pasukan yang terdiri daripada wakil pasukan beruniform, agensi kerajaan dan penyertaan tunggal pasukan kakitangan media.

Pertembungan sengit dua pasukan pilihan pada perlawanan akhir menyaksikan MPT berjaya menewaskan Pilihan Pejabat Menteri Besar (MB), 3-2 sementara tempat ketiga dimenangi pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang mengatasi pasukan ‘adik’ mereka dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, 3-0.

Kemenangan itu membolehkan MPT membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, Piala Pusingan, medal dan barangan sukan tajaan A.U.S.C Badminton Specialist.

Sementara, Pilihan Pejabat MB menerima RM2,000, medal dan barangan sukan manakala IPK membawa pulang RM1,500, medal dan barangan sukan manakala IPD menerima RM1,000, medal dan barangan sukan.

Pengurus A.U.S.C Badminton Specialist, Lee Kah Seng menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Pengurus A.U.S.C Badminton Specialist, Lee Kah Seng menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadiah kepada juara disampaikan oleh Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Zainol pada majlis ucapan penutup kejohanan mengalu-alukan penganjuran kejohanan sukan seperti itu walaupun pertama kali diadakan ia mendapat sokongan positif daripada pelbagai agensi kerajaan dan pasukan beruniform sekali gus dapat menonjolkan bakat mereka dalam badminton.

“Kejohanan seperti ini diharap dapat diadakan lagi pada masa akan datang dan dijadikan acara tahunan supaya agensi terbabit dan rakan-rakan wakil media dapat berkumpul bagi merapatkan silaturahim serta beriadah dalam suasana kekeluargaan walaupun bersaing antara satu sama lain,” katanya.

Kejohanan dijalankan secara kumpulan mengandungi empat pasukan dengan mempertaruhkan format tiga beregu lelaki, satu beregu wanita dan satu beregu campuran. Dua pasukan teratas layak ke peringkat seterusnya.

Antara yang mengambil bahagian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Jabatan Penjara Negeri Perak, 2 Briged, Lembaga Air Perak, Jabatan Hutan negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:30 PM