Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
Firdaus Hashim


KEKUATAN mental dan karakter yang dimiliki skuad bawah 22 (B-22) tahun negara adalah kunci kepada kebangkitan pasukan negara apabila berjaya bangkit sebanyak dua kali untuk mengikat Indonesia 2-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja di sini.

Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui cukup berpuas hati dengan semangat juang yang diperagakan oleh pemainnya meskipun tidak membariskan skuad terbaik dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF itu.

"Itu yang saya selalu katakan selepas aksi bertemu Kemboja tempoh hari, kami perlukan mata dan hari ini pemain tunjukkan karakter.

"Bukan mudah bermain selang sehari, malah Indonesia juga sebuah pasukan yang bagus di mana mereka mempunyai pemain yang berkemahiran baik.

"Apapun, ia bagus buat kami apabila dapat bangkit semula dari ketinggalan 0-1, 1-2 dan ini menunjukkan pemain miliki semangat juang tinggi dan saya harap ia akan kekal hingga tamat kejohanan," katanya pada sidang media di sini.

Dalam aksi itu, penyerang kelab Fagiano Okayama yang berpengkalan di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak muncul penyelamat pasukan apabila tandukannya pada minit ke-86 berjaya mengikat kedudukan 2-2 selepas skuad garuda muda mendahului dua kali, masing-masing menerusi Marinus Wanewar (minit 52) dan Witan Sulaeman (minit 76).

Satu lagi jaringan negara disumbangkan tonggak tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-61.

"Semua sedar yang kami bukan datang dengan skuad lengkap di sini, malah permukaan padang yang tidak berapa baik juga menyukarkan kita untuk mempamerkan aksi sebenar.

"Namun pemain bijak menggunakan kesempatan menerusi situasi bola mati dan dua gol itu sangat baik dengan pemain berjaya menggunakan kelebihan itu," katanya.

Kejayaan meraih satu mata itu pastinya melegakan kem negara yang masih berpeluang untuk merebut dua tempat teratas dengan aksi terakhir menentang Myanmar Jumaat ini sebagai penentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:26 PM