HADI (tengah) muncul penyelamat pasukan selepas menghasilkan jaringan penyamaan ketika menentang Indonesia, malam tadi.
HADI (tengah) muncul penyelamat pasukan selepas menghasilkan jaringan penyamaan ketika menentang Indonesia, malam tadi.
Firdaus Hashim dari Phnom Penh dan Kemboja


JARINGAN pertama Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama skuad bawah 22 (B-22) negara nyata menyuntik semangatnya untuk terus menggegar jaring terutamanya dalam aksi terakhir Kumpulan B menentang Myanmar, petang esok.

Dia yang kini beraksi bersama kelab divisyen dua Jepun, Fagiano Okayama berjaya menyelamatkan maruah negara menerusi gol penyamaan pada minit ke-86, sekali gus mengikat Indonesia 2-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, semalam.

Malah, sentuhan pentingnya itu turut berjaya mengelakkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee daripada ‘bungkus awal’ selepas tewas 0-1 kepada Kemboja pada aksi pembukaan sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah, kami dapat meraih satu mata dan kami masih lagi berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir.

“Pertamanya, gol itu memang saya tak sangka dapat kerana lawan (Indonesia) cuba perlahankan rentak, namun kami tak putus asa dan akhirnya saya dapat gol penting.

“Saya harap dapat kekalkan prestasi ini kerana selepas ini kami perlu tewaskan Myanmar untuk kekal dalam pertandingan,” kata bekas penyerang skuad Johor Darul Ta’zim II itu.

Dalam aksi itu, Indonesia yang turun dengan misi memburu tiga mata, lebih dulu di depan hasil penyudah Marinus Wanewar pada minit ke-52, sebelum tonggak tengah negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengikat kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada minit ke-61.

Begitupun, skuad Garuda Muda kembali memimpin aksi hasil percubaan dari luar kotak penalti Witan Sulaeman (minit 76), namun ia tidak kekal lama apabila Hadi memadamkan kelebihan itu menerusi tandukan lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Dalam pada itu, Nik Akif percaya masih ada banyak peningkatan yang boleh dipamerkan Malaysia menjelang aksi menentang Myanmar nanti.

“Meskipun mendapat mata, masih ada yang perlu diperbaiki. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang memperkemaskan kebangkitan luar biasa hingga membolehkan kita bangkit dua kali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 8:29 AM