BARISAN pemain Thailand meraikan kejayaan menewaskan Vietnam. FOTO Piala Suzuki AFF
BARISAN pemain Thailand meraikan kejayaan menewaskan Vietnam. FOTO Piala Suzuki AFF
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelebihan dua gol yang diraih Thailand belum selamat dan aksi separuh akhir kedua menentang Vietnam di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini cukup penting.

Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking menegaskan kemenangan 2-0 ke atas skuad Naga Emas dalam separuh akhir pertama semalam harus dilupakan dan kini tumpuan untuk aksi timbal balik kedua nanti.

"Kami memiliki kelebihan kecil dengan dua gol ini. Ini adalah langkah pertama yang sangat penting namun semuanya belum selesai.

"Kami tahu kami perlu menyesuaikan diri dengan beberapa hal dan mampu untuk menampilkan aksi yang lebih baik.

"Pada separuh masa kedua kami melakukan beberapa percubaan dan cuba untuk tampil lebih baik namun sayangnya kami gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti.

"Namun kami sudah meraih hasil yang baik. Sekarang pemain perlu berehat dan menjalani pemulihan," katanya.

Dalam aksi itu, dua gol Chanathip Songkrasin memberi kelebihan ke atas Vietnam sekali gus menjadi pasukan Asia Tenggara pertama yang menewaskan skuad bimbingan Park Hang-seo dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir kedua antara Indonesia menentang Singapura akan berlangsung malam esok dan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mara ke pentas akhir.

Pada aksi separuh akhir pertama, Indonesia dan Singapura terikat 1-1 di mana jaringan dihasilkan oleh Witan Sulaeman untuk Indonesia dan Ikhsan Fandi untuk Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 4:48 PM