AIMAN Aiman Hanapi cuba merampas bola daripada Asnawi Mangkualam dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF yang menyaksikan Malaysia kalah 1-4. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AIMAN Aiman Hanapi cuba merampas bola daripada Asnawi Mangkualam dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF yang menyaksikan Malaysia kalah 1-4. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Singapura: Impian skuad Harimau Malaya untuk mengulangi pencapaian tiga tahun lalu mara ke pentas final akhirnya berkecai selepas gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tumbang 1-4 di tangan Indonesia di Stadium Nasional Singapura, di sini, malam tadi.

Malaysia yang memerlukan tiga mata penuh untuk mara ke separuh akhir dari Kumpulan B gagal menandingi kepantasan pemain-pemain Indonesia yang ditunjangi kebanyakannya pemain muda di bawah kendalian Shin Tae Yong dari Korea Selatan.

Malah, kekalahan itu juga menamatkan rekod dua kemenangan skuad negara ke atas Indonesia sejak 2019 selepas Malaysia menang 3-2 dan 2-0 dalam kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.

Dalam aksi itu, tonggak kacukan yang beraksi untuk FC Midtjylland di Liga Denmark, Dion Cools diturunkan buat pertama kali dan digandingkan bersama Junior Eldstal di benteng pertahanan sekali gus mengenepikan Dominic Tan di bangku simpanan.

Selain itu, jurulatih negara Tan Cheng Hoe turut merombak bahagian serangan apabila meletakkan Syafiq Ahmad sebagai penyerang tunggal dengan dibantu Faisal Halim dan R Kogileswaran di belakangnya.

Percaturan itu tampak membuahkan hasil pada mulanya apabila Kogileswaran meletakkan skuad negara di depan hasil percubaan deras yang gagal ditampan Nadeo Arga Winata pada minit ke-13.

Indonesia yang mengikat Vietnam tanpa jaringan sebelum ini tidak patah semangat apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Irfan Jaya selepas menerima hantaran Witan Sulaeman di minit 36.

Gol penyamaan itu nyata membakar semangat anak didik Tae Yong, dan Irfan sekali lagi mencetak nama selaku penjaring di penghujung babak kedua untuk menambah tekanan buat Malaysia.

Skuad Harimau Malaya yang wajib memburu tiga mata mengubah strategi permainan apabila menolak Cools di bahagian tengah dan memasukkan Dominic Tan bagi mengisi posisi pertahanan dengan Safawi dikeluarkan pada babak kedua.

Bagaimanapun percaturan itu tidak berhasil apabila skuad Garuda menambah gol ketiga selepas empat minit babak kedua bersambung hasil rembatan Pratama Alif Rifai untuk 'melemaskan' Khairul Fahmi Che Mat buat kali ketiga.

Ketinggalan tiga gol memaksa Cheng Hoe memasukkan Guilherme De Paula dan Akhyar Rashid bagi menambah sengat dan hasilnya jentera hadapan kembali menyengat dengan beberapa siri percubaan.

Kelekaan Junior di minit 80 hampir menghadiahkan gol keempat namun mujur Dominic sempat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk memberikan sepakan sudut buat lawan.

Begitupun, seminit kemudian tonggak gantian Elkan Baggot menambah derita kem negara apabila bijak memanfaatkan sepakan penjuru menerusi tandukan yang tepat menuju ke sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 10:32 PM