LUKAKU masih sukar mendapat rentak. FOTO/AGENSI
LUKAKU masih sukar mendapat rentak. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER: Masa depan Romelu Lukaku bersama Manchester United sekali lagi menjadi tumpuan selepas pengendali Ole Gunnar Solskjaer mahu mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan apabila menentang Brighton esok.

Solskjaer menjadi pengurus pertama dalam sejarah kelab itu memulakan kerjaya dengan enam kemenangan berturut-turut dan membawa aura positif kembali ke Old Trafford selepas berdepan krisis di bawah kendalian Jose Mourinho.

Solskjaer sebelum ini memberi amaran kepada pemainnya selepas mengambil alih tugas daripada Mourinho agar mengambil peluang apabila diberi kepercayaan keluar daripada bangku simpanan.  

Penyerang Belgium Lukaku antara pemain yang menjadi mangsa pertukaran taktik dan aura positif yang dibawa pengendali dari Norway itu. 

Mourinho sebelum ini mempertahankan pemain berusia 25 tahun itu biarpun tidak menunjukkan prestasi seperti diharapkan pada musim lalu yang akhirnya menyebabkannya hilang jawatan.

Solskjaer melakukan perubahan berhubung kedudukan penyerang itu apabila beliau mengambil alih tugas di Old Trafford sebelum Krismas dengan Lukaku ketika itu tidak bersama kelab kerana masalah peribadi. 

Perkara itu mendorong pengendali dari Norway itu menggunakan pendekatan lebih dinamik dengan corak permainan pantas di bahagian serangan ketika membuat kemunculan pertamanya di Cardiff yang kemudian tidak lagi memandang ke belakang selepas melakar kemenangan selesa 5-1. 

Marcus Rashford menjadi pemain utama yang diberi peluang diturunkan sepanjang lima perlawanan liga di bawah kendalian Solskjaer, meledakkan empat gol dan menjadi nadi utama di bahagian serangan United. 

Di belakangnya, Anthony Martial dan Jesse Lingard juga antara pemain yang diberi kepercayaan. Pemain antarabangsa Perancis, Martial menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin bagi membuktikan kemampuan sebenarnya selepas hubungan tegang dengan Mourhino.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 3:36 PM