PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. FOTO Reuters
PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER, England: Ole Gunnar Solskjaer memberitahu sidang akhbar rasmi pertamanya sebagai pengurus sementara Manchester United hari ini beliau berminat jika diberi peluang untuk menjadi bos sepenuh masa.

Pengendali dari Norway berusia 45 tahun itu, bekas pemain legenda di Old Trafford, dilantik sebagai bos sementara hingga hujung musim ini bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat Selasa lalu.

Solskjaer, yang dipinjamkan dari kelab Norway, Molde, mengakui beliau tidak memikirkan mengenai tempoh selepas musim semasa berakhir bersama kelab itu yang mana beliau menghabiskan hampir 15 tahun sebagai pemain dan jurulatih.

Namun beliau menyatakan berminat memegang jawatan itu secara tetap jika diberi peluang.

“Apabila anda mendapat tugas sebegini dan mereka meminta anda menandatangani kontrak enam bulan, anda berkata ‘ya sudah tentu’,” katanya.

“Saya gembira untuk membantu dan tugas saya bagi enam bulan berikut adalah untuk bertindak sebaik mungkin dan membantu kelab ini meningkat sebaik mungkin.

“Saya faham ada ramai pengurus yang pasti berminat untuk menjadi pengurus Manchester United dan saya seorang daripadanya. Tapi ia bukannya sesuatu yang kita boleh bualkan, mereka akan melakukan prosesnya mulai hari ini hingga enam bulan akan datang.”

Solskjaer, terkenal kerana ancaman yang mampu diberikannya ketika tampil dari bangku simpanan dan masih diingati penyokong United kerana gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara 1999, berdepan tugas getir menggantikan Mourinho.

United melakukan permulaan terburuk dalam era Liga Perdana Inggeris dan ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Liverpool serta 11 mata berbanding tempat ke Liga Juara-Juara.

“Tugas saya adalah membantu pemain menyambar peluang ini kerana mereka mahu menjadi sebahagian daripada Man United,” kata Solskjaer.

Solskjaer akan memulakan tempohnya di United malam esok menentang Cardiff City di laman lawan, satu-satunya kelab Liga Perdana yang pernah diuruskannya - beliau berdepan masa sukar selama lapan bulan di selatan Wales dan gagal menyelamatkan kelab itu daripada turun ke liga bawahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:34 PM