PAUL POGBA
PAUL POGBA
AFP

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer yakin Manchester United kini melihat Paul Pogba seperti yang dikenalinya ketika beliau mengendali pasukan simpanan kelab itu selepas juara Piala Dunia bersama Perancis itu meledak dua gol ketika menang 3-1 ke atas Huddersfield, awal pagi tadi.

Era Solskjaer sebagai pengendali sementara bermula dengan kemenangan 5-1 di Cardiff Sabtu lalu dan permulaan impiannya berterusan dengan sambutan hangat penyokong setia di Old Trafford.

Nemanja Matic membuka tirai jaringan tetapi persembahan Pogba pada babak kedua serta dua gol pemain tengah Perancis itu memberi gambaran sebenar perubahan ketara dalam kalangan pemain selepas Jose Mourinho dipecat dan digantikan dengan pengendali dari Norway itu hingga akhir musim ini.

Solskjaer melatih Pogba ketika remaja sebelum dia menyertai Juventus dan United kemudian terpaksa membayar rekod yuran perpindahan tertinggi dunia 89 juta pound (RM470.4 juta) untuk membawanya semula ke Old Trafford pada 2016.

“Itu Paul yang saya kenal,” kata Solskjaer. “Paul yang saya kenal sejak dia berada dalam pasukan simpanan dan remaja bersama saya.

“Dia seroang yang sentiasa ceria, wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman.”

Namun senyuman Pogba menjadi pudar sepanjang musim ini apabila tercetus kontroversi dengan Mourinho dan dia sekadar memanaskan bangku simpanan dalam tiga perlawanan terakhir liga kendalian jurulatih dari Portugal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 10:23 AM