JORGE LORENZO
JORGE LORENZO
Agensi

SYDNEY: Legenda kategori 500cc, Mick Doohan percaya Jorge Lorenzo tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak boleh bersaing dengan rakan sepasukan Honda Marc Marquez musim hadapan.

Selepas dua musim tidak konsisten bersama Ducati, juara dunia tiga kali Lorenzo berhijrah ke Honda bagi kempen 2019 dengan membuat permulaan meyakinkan pada sesi ujian di Valencia dan Jerez.

Dia menamatkan ujian hanya 0.039 saat di belakang rakan sepasukannya Marquez, dan walaupun Lorenzo tidak boleh memberi sebarang komen mengenai progres jentera RC213V sehingga tahun depan, namun Marquez melaporkan pendatang baharu itu memberi reaksi sama sepertinya.

Dalam sesi temuramah bersama Motorsport.com, juara lima kali kelas perdana Doohan berkata bahawa Lorenzo tidak boleh memberi alasan lagi sekiranya dia lebih perlahan berbanding Marquez – ini antara sebab yang meyakinkan dia untuk menyertai Honda.

Beliau turut meramalkan Honda lebih serasi menampung keperluan sebenar Lorenzo berbanding majikan lamanya Ducati.

Doohan berkata: “Saya fikir Lorenzo berada dalam situasi yang sulit kerana terdapat banyak tekanan ke atasnya, dan pada masa sama ia juga boleh membawa impak positif kerana satu-satunya perkara yang boleh dilakukannya adalah menewaskan Marc menggunakan jentera sama.

“Ia seperti Eddie Lawson ke Honda dan berkata jika Wayne Gardner menggunakan jentera sama dengannya, dia tidak boleh menyaingi tahapnya. Dan Gardner tiba dan menang kejuaraan (1987).

“Saya sentiasa beranggapan ini antara sebab mengapa Jorge mengambil cabaran untuk menjadi rakan sepasukan Marc, untuk mencari jawapan sama ada dia mampu mengatasinya.

“Jorge tidak mempunyai alasan lagi kerana dia mempunyai jentera yang sama.”

Tambah Doohan, beliau menjangkakan kehadiran Lorenzo  yang menggantikan Dani Pedrosa  mampu memacu Marquez untuk mencapai tahap lebih tinggi.

“Apa yang pasti kehadiran Lorenzo akan memberi tambahan motivasi kepada Marc,” katanya. “Sepanjang karier saya dulu, saya tidak pernah kisah siapa rakan sepasukan saya dan untuk Marc pun mungkin situasi sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:51 PM