MARC MARQUEZ
MARC MARQUEZ
Agensi

SYDNEY: Marc Marquez masih mampu menjuarai perlumbaan MotoGP sekalipun dia membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan Honda, kata juara dunia lima kali, Mick Doohan.

Marquez merekodkan gelaran juara dunia kelimanya tahun ini ketika perlumbaan masih berbaki tiga pusingan .

Juara bertahan itu masih mempunyai baki kontrak bersama Honda sehingga 2020 tetapi spekulasi mula timbul mengenai masa depan kerjayanya.

Marquez sebelum ini menegaskan tiada alasan untuk dia meninggalkan Honda selagi pasukan berkenaan memberikannya jentera yang mampu mencabar kejuaraan.

Bagaimanapun, difahamkan Ducati ada menghubungi pelumba berkenaan bagi membincangkan mengenai perpindahan pada 2021.

Seperti Marquez, Doohan merangkul lima gelaran dunia ketika kategori 500cc bersama jentera Honda dan percaya Marquez masih mampu menjadi juara biarpun berpisah dengan pasukan itu.

“Ketika era saya, saya fikir ada tujuh jentera Honda di grid tetapi pemenangnya sentiasa orang yang sama. Pelumba seperti Marc sentiasa membawa perubahan.

“Dalam perlumbaan motosikal, pelumba ada pengaruh yang besar. Kita sudah melihatnya sebelum ini apabila pelumba bertukar pasukan. Segelintir daripada mereka berjaya menghasilkan keputusan cemerlang dan segelintir lagi sebaliknya.

“Saya fikir Marc jika Marc membuat keputusan untuk bertukar pasukan, dia masih mampu menang. Kita dapat lihat ia dilakukan  oleh (Valentino) Rossi, dan (Eddie) Lawson,” kata Doohan.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 10:47 AM