GRIEZMANN puas ledak satu gol. FOTO/REUTERS
GRIEZMANN puas ledak satu gol. FOTO/REUTERS
AFP

MADRID: Atletico Madrid berjaya melunaskan dendam susulan kekalahan di tangan Borussia Dortmund dua minggu lalu apabila menewaskan kelab Jerman itu 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menghidupkan semula peluang Atletico untuk muncul juara Kumpulan A.

Dortmund mencetus kekalahan terbesar Atletico sejak dibimbing Diego Simeone apabila menang 4-0, 13 hari lalu tetapi kali ini tuan rumah menunjukkan penguasaan mereka apabila mendominasi perlawanan sejak awal hingga wisel penamat.

Saul Niguez dan Antoine Griezmann masing-masing meledak satu gol pada babak pertama dan kedua bagi melengkapkan kemenangan buat Atletico yang kini berkelebihan lima mata di depan penghuni tangga ketiga, Club Brugge dengan berbaki dua perlawanan.

Anak buah Simeone yang berada di kedudukan kedua ketika ini masih bersaing bagi merebut gelaran juara kumpulan apabila berkongsi sembilan mata dengan Dortmund.

Bagaimanapun, peluang Atletico untuk muncul juara kumpulan tampak sukar apabila perlu bermain menentang Brugge di tempat lawan pada aksi terakhir kumpulan.

“Kami mahu mengejar mereka selepas perlawanan pertama. Ia pada mulanya nampak sukar dan peluang untuk mengejar dilihat semakin sukar susulan kekalahan dua minggu lalu.

“Namun, malam ini (awal pagi tadi) kami berjaya melunaskan dendam,” kata Saul.

Selepas tewas di Jerman, Atletico sekadar seri dengan kelab bawahan Liga Sepanyol, Leganes Sabtu lalu dan keputusan itu diraih tanpa kelibat Diego Costa, Diego Godin dan Koke yang mengalami kecederaan.

“Pasukan memberikan reaksi positif. Kami bermain secara sepasukan dan apabila itu dilakukannya, anda memiliki identiti tersendiri,” kata Simeone.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:21 AM