Peng Soon-Liu Ying mahu tamat badi. FOTO fail HM Digital
Peng Soon-Liu Ying mahu tamat badi. FOTO fail HM Digital
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mahu menamatkan badi kekalahan di tangan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavia apabila kedua-dua pasangan itu membuat perhitungan pada aksi suku akhir Terbuka Jepun, esok.

Peng Soon-Liu Ying yang juga juara edisi 2012 tewas dalam kedua-dua pertemuan dengan pasangan Indonesia itu sebelum ini di Terbuka Jerman, Mac lalu dan Terbuka India (Januari lalu).

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan India, Pranaav Jerry Chopra-Reddy N Sikki 21-16, 21-16 manakala Praveen-Melati menyingkirkan pilihan ketujuh dari England, Chris Adcock-Gabriellle Adcock 23-21, 21-18 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

“Tahun ini kami tewas dalam kedua-dua perlawanan bertemu mereka (Praveen-Melati). Jadi, kami harap esok kami boleh menang dan beraksi pada tahap terbaik.

“Selepas mengharungi dua perlawanan, kami belum berpuas hati dengan prestasi kami di sini. Kami percaya kami boleh melakukan yang lebih baik lagi,” kata Peng Soon ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pasangan China, He Jiting-Du Yue 21-13, 23-21 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

Pasangan nombor enam dunia itu akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping bagi perebutan tempat ke separuh akhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 6:31 PM