PENG Soon-Liu Ying  diundi dalam Kumpulan B bersama pasangan nombor dua dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia). FOTO/NSTP
PENG Soon-Liu Ying diundi dalam Kumpulan B bersama pasangan nombor dua dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia). FOTO/NSTP
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Peluang lebih terbuka buat Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk melangkah ke separuh akhir kategori beregu campuran saingan Jelajah Dunia Akhir BWF berbanding satu lagi pasangan, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Berdasarkan undian dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, Peng Soon-Liu Ying diundi dalam Kumpulan B bersama pasangan nombor dua dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia).

Soon Huat-Shevon yang bakal membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij itu diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand) dan Marcus Ellis-Lauren Smith (England).

Ketua jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang, berkata berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasangan utama  negara itu dengan lawan masing-masing dalam saingan peringkat kumpulan, nyata Peng Soon-Liu Ying mempunyai peluang lebih tinggi untuk mara ke separuh akhir.

"Peluang lebih terbuka kepada Peng Soon-Liu Ying berbanding Soon Huat-Shevon. Perlawanan pertama adalah penting.

"Peng Soon-Liu Ying pernah menang dengan semua lawan dalam kumpulan mereka, jadi saya nampak peluang lebih terbuka kepada mereka berdua. Dengan persiapan mental dan strategi terbaik, saya percaya mereka boleh lakukannya," kata Cheh Chang ketika dihubungi, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016 menang kedua-dua perlawanan dengan Yilyu-Dongping sebelum ini dan mengatasi  Watanabe-Arisa dalam semua tiga perlawanan.

Beregu nombor enam dunia itu bagaimanapun belum pernah bertemu dengan  Hafiz Faizal-Gloria.

Hanya dua pasangan terbaik dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir pada kejohanan yang berlangsung di Guangzhou, China bermula 12 hingga 16 Disember yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.25 juta).

Bagi Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, ini adalah kali ketiga mereka layak beraksi pada saingan akhir musim itu selepas edisi 2012 dan 2013.

Pada edisi 2012 di Shenzhen, Peng Soon-Liu Ying gagal melepasi peringkat kumpulan tetapi mara ke separuh akhir pada edisi 2013 di Kuala Lumpur.

Soon Huat-Shevon pula yang mula digandingkan pada hujung 2016 akan membuat penampilan pertama dalam kejohanan berprestij itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:35 PM