ANTHONY MARTIAL
ANTHONY MARTIAL
Agensi

MANCHESTER: Anthony Martial diminta oleh rakan sepasukan Manchester United untuk lebih yakin dengan keupayaan yang ada pada dirinya.

Jaringan Ahad lalu adalah yang kelima oleh pemain Perancis itu musim ini dan memperkuatkan lagi peningkatan prestasinya – empat gol dalam empat perlawanan – selepas mendapat nasihat daripada rakan-rakan di Carrington.

Nemanja Matic mendedahkan dia ada bercakap dengan Martial berkenaan isu tahap keyakinannya, manakala Jose Mourinho dan Michael Carrick juga dipercayai turut memberi semangat kepada pemain sayap itu.

“Anthony adalah pemain hebat dan dia perlu faham perkara itu,” kata Matic. “Dia perlu lebih keyakinan. Jika dia mencapai kemuncak prestasinya dia mampu menjadi salah seorang pemain terbaik dalam ini. Itu sudah pasti.

“Kadangkala saya rasa dia tidak memahami betapa bagusnya dia. Dia mempunyai semua yang diperlukan oleh pemain bola sepak Manchester United.

“Jika saya mempunyai kemahiran dengan bola sepertinya dan saya sepantas dia, saya akan tidak akan memberi bola kepada sesiapa dan saya akan menjaringkan gol pada setiap perlawanan! Serius, dia perlukan lebih keyakinan dan ia hadir dengan keputusan.”

Bos Everton Marco Silva melabelkan Martial sebagai pelakon selepas dia mendapatkan penalti pada babak pertama di Old Trafford tetapi difahamkan Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) tidak akan mengambil tindakan susulan.

“Kualiti sudah ada, keyakinan juga mula meningkat dan dia hanya perlu konsisten. Saya gembira dia bersama kami dalam pasukan. Dalam bola sepak dan kehidupan anda mempunyai tempoh sukar dan anda perlu kembali ke landasan yang betul. Itulah yang dia sedang lakukan,” kata Matic berkenaan Martial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:17 AM