Agensi

Manchester: Bintang baru Manchester United Nemanja Matic mendedahkan dia mahu terus kekal di kelab itu untuk masa yang panjang selepas aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan mereka menewaskan West Ham.

Anak buah Jose Mourinho menang 4-0 di Old Trafford menerusi sumbangan dua gol Romelu Lukaku selain jaringan Anthony Martial dan Paul Pogba.

Bagaimanapun penampilan Matic mencuri tumpuan apabila dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan oleh United dan selepas perlawanan itu, dia mengakui sambutan hangat rakan sepasukan memudahkannya menyesuaikan diri.

“Terima kasih kepada mereka yang menerima saya sejak hari pertama dan saya dapat rasakan sokongan mereka,” katanya.

“Disebabkan mereka, saya rasa amat selesa seolah-olah akan terus kekal di sini untuk masa yang panjang. Mereka membantu saya dan saya gembira jika dapat menyumbang sesuatu kepada mereka, membantu mereka mencatat kemenangan.

“Kami bermain dengan baik dan saya fikir penyokong juga menyukainya. Ia satu permulaan baik dengan tiga mata, musim ini masih jauh tetapi kami perlu mengutip banyak mata dan bermula dengan baik.

“Alangkah hebat dapat bermain di Old Trafford, apabila anda menyarung jersi United, anda boleh merasai tekanan kerana ia sebuah kelab besar tetapi sebab itulah kami berada di sini.

“Kami sedar bahawa tanggungjawab besar menanti apabila bermain untuk Manchester United dan saya gembira kami bermula dengan baik dan berharap akan terus begitu.

“Saya pasti pasukan ini mampu mencapai sesuatu yang hebat.”

Pemain Serbia itu juga menyatakan pujian terhadap rakan sepasukan barunya Lukaku, yang turut membuat penampilan sulung yang hebat dan kini mengumpul tiga gol daripada dua perlawanan buat United.

“Saya berbangga dengannya, bukan saja dia menjaringkan gol tetapi bermain dengan baik,” kata Matic.

“Dia menyelamatkan banyak bola dan memberikan kami keyakinan di barisan serangan.

“Adalah penting bagi kami apabial dia menjaring dua gol pertama dan selepas itu permainan lebih mudah bagi kami, perlawanan lebih terbuka dan lebih banyak ruang boleh dimanfaatkan.

“Saya bangga dengannya. Saya pasti dia akan terus mengekalkan prestasinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:01 AM