NEMANJA Matic
NEMANJA Matic
Agensi

NEMANJA Matic percaya kekurangan pengalaman menjadi penghalang kepada Manchester United menjulang gelaran biarpun memiliki pemain muda berkualiti.

Pemain Serbia itu pernah menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris ketika bersama Chelsea dari 2015 hingga 2017 sebelum menyertai United pada tahun sama.

Dia menyokong pasukannya untuk terus mencabar gelaran tetapi pada masa sama meminta penyokong pasukan itu supaya bersabar sementara meraih pengalaman mencukupi untuk menjulang gelaran itu.

“Kualiti dan pengalaman akan memberikan anda gelaran,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

“Skuad ini memiliki kualiti tetapi tiada pengalaman.

“Kami mempunyai lima atau enam pemain utama tetapi mereka masih muda seperti Marcus Rashford dan Anthony Martial. Mereka menunjukkan kualiti mereka di padang tetapi sudah pasti mereka terlalu muda untuk memimpin pasukan.

“Mason Greenwood, memiliki potensi yang hebat. United mempunyai projek dan tahu apa yang mereka perlukan untuk pemain masa depan.

“Namun anda perlu memberi mereka masa kerana pada usia 17 tahun, anda tidak boleh bermain seperti anda berusia 26 atau 27.

“Bola sepak sentiasa mahukan keputusan tetapi peminat perlu bersabar supaya mereka boleh meningkat. Pada masa depan saya pasti pemain ini akan meletakkan United ke tempat asalnya.”

Red Devils memberikan komitmen penuh terhadap pemain muda musim panas ini dengan membawa masuk dua pemain berusia 21 tahun, Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James, namun pengurus Ole Gunnar Solskjaer sedar mereka juga perlukan pemain yang kental.

Matic menyarung ikat lengan kapten pada pramusim dan dikatakan bakal menjadi kapten tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 11:37 AM