KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Pemain skuad Bawah 16 (B-16) Nakano JEPUN (jersi biru) idam juara kumpulan. FOTO/BERNAMA
KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Pemain skuad Bawah 16 (B-16) Nakano JEPUN (jersi biru) idam juara kumpulan. FOTO/BERNAMA
Zulfaizan Mansor


SKUAD bawah 16 (B-16) Jepun hanya memerlukan keputusan seri pada pertemuan dengan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan B-16 AFC 2018.

Jurulatihnya, Yoshiro Moriyama bagaimanapun menegaskan satu mata masih belum cukup buat mereka mencapai matlamat utama untuk mara selaku juara Kumpulan A.

Justeru, beliau dilihat tidak akan bermain secara bertahan pada aksi peringkat kumpulan itu dengan Malaysia membawa misi wajib menang selepas kecundang kepada Thailand pada Ahad lalu.

"Untuk layak ke peringkat seterusnya sebagai juara kumpulan, kami perlu menewaskan Malaysia dan saya fikir kami boleh menundukkan mereka.

"Tapi harus diingat, Malaysia juga berada pada situasi sama (perlukan kemenangan), jadi saya pasti ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit.

"Mereka pasti ada sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan mendapat sokongan penonton, tapi ia bukan alasan untuk kami tidak mampu mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Jepun melepaskan peluang terbaik mereka untuk sekurang-kurangnya selangkah ke suku akhir apabila sekadar terikat tanpa jaringan ketika berdepan pasukan tangga tercorot kumpulan, Tajikistan pada Ahad lalu.

Moriyama ketika sidang media selepas perlawanan itu mengakui kegagalan pemainnya menyudahkan beberapa peluang terhidang menjadi punca mereka gagal menundukkan Tajikistan.

Sehubungan itu, beliau berkata ketajaman penyudah perlu diperbaiki jentera serangannya apabila berdepan Malaysia jika tidak mahu tersingkir awal daripada kejohanan.

 "Kami hanya perlu menjaringkan gol, itu saja perkara yang perlu dilakukan untuk menang. Jadi segala peluang terhidang tidak boleh disia-siakan seperti yang berlaku ketika berdepan Tajikistan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 3:36 PM