PEMAIN Malaysia, Harith Naem Jaineh diasak pemain Jepun Asahi Yokohama pada perlawanan AFC U-16 Championship Malaysia 2018 di Stadium Negara Bukit Jalil. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN Malaysia, Harith Naem Jaineh diasak pemain Jepun Asahi Yokohama pada perlawanan AFC U-16 Championship Malaysia 2018 di Stadium Negara Bukit Jalil. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
Syafiq Aznan


“INI bukan kegagalan!” 

Itu reaksi jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Lim Teong Kim sejurus skuad kendaliannya yang ditunjangi pemain daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) gagal melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 di Peru, hari ini.

Bagaimanapun, jawapan Teong Kim itu boleh dipertikaikan kerana misi utama program berkenaan adalah melayakkan diri ke Piala Dunia ketika ratusan juta ringgit sudah dibelanjakan untuk program berkenaan sejak empat tahun lalu.

Bagi Teong Kim, NFDP tetap berada dalam landasan yang betul dan mengakui pelaburan sememangnya diperlukan dalam usaha membangunkan pemain dari peringkat akar umbi.

“Saya menilai bukan setakat keputusan tetapi persembahan yang ditunjukkan pemain. Adakah anda pernah lihat Malaysia menunjukkan aksi seperti pemain B-16?

“Ini bukan kegagalan sebaliknya percubaan pertama kita. Jadi, kita perlu meneruskan kerja ini sehingga kita berjaya dan bukannya setakat satu percubaan dan kemudiannya kita berhenti.

“Sasaran ke Piala Dunia B-17 hanyalah matlamat jangka pendek. Berdasarkan keputusan, saya akui itu bukanlah keputusan yang baik tetapi ini adalah pembangunan pemain, jadi nilailah mereka berdasarkan persembahan.

“‘Matlamat jangka panjang adalah melahirkan pemain yang berkualiti untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang. Kita perlu terus membangunkan pemain dan tidak boleh berhenti setakat di sini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di sini, hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan A B-16 Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, impian Malaysia ke Peru ranap selepas tumbang 2-0 di tangan juara dua kali, Jepun.

Meskipun sekadar memerlukan keputusan seri untuk mara ke suku akhir susulan kejutan 2-1 yang dilakar Tajikistan ke atas Thailand, namun anak buah Teong Kim tidak berjaya mencari satu mata diperlukan sekali gus akur tersingkir seawal peringkat kumpulan di laman sendiri.

Mengulas lanjut kekalahan anak buahnya di tangan skuad bimbingan Moriyama Yoshiro itu, Teong Kim menyifatkan anak buahnya beraksi dengan baik sekalipun keputusan perlawanan menyatakan sebaliknya.

“Mereka tetap bersemangat untuk mencari gol selepas dibolosi hasil kesilapan mudah dan tidak berputus asa. Saya bangga dengan apa yang ditunjukkan pemain saya.

“Jepun dibarisi pemain yang lebih baik secara teknikal dan taktikal namun pemain saya dapat memberikan cabaran yang sengit kepada lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 3:06 PM