AKSI Andre dalam acara lompat kijang.
AKSI Andre dalam acara lompat kijang.
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar bertekad untuk bangkit dan mencapai catatan lebih baik di kejohanan akan datang.

Atlet negara berusia 24 tahun itu masih belum mengalah biarpun keputusan di temasya Sukan Asia Hangzhou tidak seperti diinginkan tetapi ia dianggap satu pendedahan cukup bermakna buat dirinya.

Andre sekadar melakukan lompatan sejauh 16 meter (m) untuk menamatkan saingan di kedudukan kelapan dari 13 atlet yang bertanding dalam acara lompat kijang.

Emas dimenangi atlet China, Zhu Yaming (17.13m), perak milik Fang Yaoqing (16.93m) atlet India, Paraveen Chitharavel (16.68m) meraih gangsa.

Manakala dalam acara lompat jauh Andre gagal mara ke final selepas melakukan 6.71m untuk berada di kedudukan terakhir pusingan kelayakan kumpulan B.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim berkata, dia melihat ada peningkatan dari segi prestasi ditunjukkan Andre selepas kembali pulih daripada kecederaan akibat kemalangan yang dialami atlet negara itu pada Mei lalu.

"Lepas dia terbabit dengan kemalangan, memang dia bergelut dengan latihan, sehingga nak melompat pun tak boleh. Tapi sekarang Alhamdulillah dia dah kembali semula.

"Untuk lompat jauh memang kita tak sasaran apa-apa kerana ia sekadar acara untuk Andre memanaskan badan sebelum turun dalam acara lompat kijang.

"Dalam lompat kijang, prestasinya mula konsisten daripada lompatan pertama hingga yang akhir.

"Saya puas hati dengan prestasinya terutama cara dia menangani situasi dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia kali ini.

"Tidak mudah untuk menyesuaikan diri dalam keadaan suasana stadium yang penuh dengan penonton ini," katanya.

Sementara itu, Andre berkata, dia menikmati penyertaan di temasya kali ini biarpun gagal untuk merekodkan catatan terbaiknya.

"Walaupun tidak mencatatkan lompatan terbaik peribadi saya iaitu 16.51m, saya gembira dapat beraksi di sini dan pengalaman ini cukup bermakna bagi saya.

"Ini bukan penamat. Saya akan pulang dan berbincang dengan jurulatih saya (Firdaus Abdul Rahim) untuk melihat apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi lompatan saya dalam lompat kijang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:46 PM