AKSI Andrea melakukan lompatan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AKSI Andrea melakukan lompatan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Phnom Penh: Atlet negara Andre Anura Anuar meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara lompat kijang di temasya Sukan Sea selepas meraih pingat emas di Kemboja hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mencatat 16.06 meter (m) di Stadium Kebangsaan Morodok Techo tetapi dia berkata usahanya untuk memecahkan rekod kebangsaan terjejas susulan cuaca panas di negara itu.

Dua pencabar dari Filipina Ronnie Auxilio Mapilay meraih perak dengan catatan 15.74m manakala Mark Harry Aloto Diones melengkapkan podium dengan catatan 15.70m.

Bagaimanapun, Andre tetat berbangga dapat mengekalkan emas acara lompat kijang yang dimenangi Hakimi Ismail di Sukan Sea Singapura 2015, Sukan Sea Malaysia 2017 dan temasya di Filipina pada 2019.

Andre yang memenangi acara itu di Sukan Sea Vietnam 2021 berkata dia berharap dapat mengatasi rekod 16.77m milik Hakimi pada tahun ini.

"Cuaca sangat panas dan semua atlet bergelut melakukan catatan terbaik. Saya berusaha tetapi suasana menjadikannya sangat sukar. Saya dan jurulatih merancang untuk mencipta rekod baharu kebangsaan di sini namun gagal," kata Andre.

"Saya terasa sakit di kaki kiri ketika melompat dan saya akan bertanding di Terbuka Taiwan (27-28 Mei), jadi saya tidak terlalu menekan diri saya yang boleh menjejaskan peluang bertanding di sana."

Andre berkata lagi, dia mencapai jarak 17m ketika sesi latihan dan yakin mampu memecahkan rekod kebangsaan acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 8:30 PM