Azira tangkas biarpun kecil. FOTO Zairee Mohd Yasak/FOTO fail HM Digital
Azira tangkas biarpun kecil. FOTO Zairee Mohd Yasak/FOTO fail HM Digital
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat


IPOH: Walaupun bertubuh kecil, namun ketangkasan atlet cilik wushu Kelantan, Nor Azira Kamarudzaman yang beraksi dalam acara nandao wanita tetap berjaya mencuri tumpuan penonton yang menyaksikan temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Perak.

Berketinggian 1.30 meter, atlet berumur 13 tahun itu bagaimanapun mengakhiri saingan di tempat ketujuh, dengan meraih 8.63 mata dalam acara yang dimenangi Lee Hui Xian dari Sarawak (9.54 mata).

"Tadi, saya rasa saya terlalu takut memandangkan ini adalah penyertaan pertama saya di SUKMA.

"Esok saya akan menyertai satu lagi acara nanquan, bagi saya tak semestinya menang pingat kerana apa yang lebih penting adalah pengalaman berharga apabila dipilih ke SUKMA.

“Sebelum ini saya banyak kali gagal terpilih ketika proses pemilihan," katanya kepada NSTP selepas bertarung di Kolej Matrikulasi Gopeng di sini, hari ini.

Azira yang berasal dari Melaka berkata, dia bermula menyertai wushu ketika umurnya enam tahun selepas tertarik untuk mengikuti jejak langkah kakaknya, Nor Eliya yang aktif dalam sukan seni itu.

"Kakak saya mengalami patah kaki dan selepas itu tak boleh bergiat aktif dalam wushu, namun keluarga tidak menghalang saya untuk aktif bahkan sentiasa memberi sokongan.

"Tak semestinya saya sebagai orang Melayu hanya perlu menyertai seni sukan Melayu. Bagi saya, wushu tetap membawa kepuasan dan kegembiraan apabila melakukan persembahan," katanya.

Azira yang berlatih di bawah bimbingan Ho Mun Hua berkata, dia menjalani latihan setiap hari bagi membaiki dirinya dan berharap dapat merangkul kejayaan pada temasya akan datang.

 

Info:

Nama: Nor Azira Kamarudzaman

Umur: 13 tahun

Kontinjen: Kelantan

Sukan: Wushu

Tarikh lahir: 7 Oktober 2005

Asal: Batu Berendam, Melaka

Sekolah: Sekolah Tinggi Cina Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 5:16 PM