NOR Azira.
NOR Azira.
NOR Eliya.
NOR Eliya.
ANTARA teknik wushu yang dipelajari Azira.
ANTARA teknik wushu yang dipelajari Azira.
PERSATUAN Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Melaka bergambar selepas tamat pertandingan di Kuching, Sarawak.
PERSATUAN Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Melaka bergambar selepas tamat pertandingan di Kuching, Sarawak.
ELIYA dan Azira bersama jurulatih serta rakan sepasukannya di SJKC Cheng, Melaka.
ELIYA dan Azira bersama jurulatih serta rakan sepasukannya di SJKC Cheng, Melaka.

FATIN FARHANA JAPRE puji ketangkasan dua beradik bermain senjata dalam seni mempertahankan diri wushu.

Kepantasan bermain senjata dan pergerakan lincah dua beradik, Nor Eliya Kamarudzaman, 17, dan Nor Azira Kamarudzaman, 11, ketika sesi latihan seni mempertahankan diri wushu menarik minat penulis untuk mendekati mereka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng, Melaka baru-baru ini.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah hanya mereka dua beradik berbangsa Melayu dan fasih pula berkomunikasi dengan murid berbangsa Cina dalam bahasa Mandarin. Bagai tiada jurang antara mereka dan berkumpul bagai sebuah keluarga. Mereka juga dikatakan murid Melayu pertama menyertai Persatuan Wushu, Tarian Naga dan Singa Melaka.

Nor Eliya berkata, minatnya mempelajari seni mempertahankan diri wushu ini bermula ketika berusia lapan tahun. Namun, dia hanya berlatih di rumah selama setahun sebelum dihantar ibunya mempelajari wushu pada usia sembilan tahun.

“Saya memang minat cara pergerakannya yang lincah selain banyak senjata yang boleh dikendalikan seperti pedang, kayu, lembing, parang dan banyak lagi. Jika seni lain sekadar menggunakan fizikal, tetapi wushu ini sangat berlainan dan banyak kelebihannya dari segi kesihatan mental dan fizikal.

“Sejak mempelajari seni wushu ini lapan tahun lalu, saya lebih berdisiplin dan masa terluang banyak dihabiskan berlatih wushu. Pencapaian tertinggi saya setakat ini memenangi tempat ke-6 bermain senjata dan tempat ke-10 bermain kayu pada Pertandingan Wushu Nasional Terbuka Malaysia 2015 di Kuching, Sarawak. Terima kasih atas tunjuk ajar sifu saya iaitu Chai Chin Hin sehingga melayakkan saya ke peringkat ini,” katanya.

Katanya lagi, seminggu sebelum pertandingan di Kuching, Sarawak dia mengalami kecederaan semasa menjalani latihan. Disebabkan itu, rasa takut dan gementar untuk melakukan aksi lompatan tinggi masih ada sehingga kini. Tetapi Nor Eliya masih meneruskan sesi latihan untuk persediaan mempertahankan dirinya jika dalam kesulitan.

Lain pula kisah mengenai adiknya, Nor Azira yang kecil molek, tetapi sangat berani melakukan pergerakan lincah sambil mengendalikan senjata. Memang benar kata orang minat mengatasi segalanya. Penulis kagum melihat kesungguhannya menjalani latihan bersama rakan lain dan lagaknya seakan-akan mempunyai impian bergelar atlet profesional pada suatu hari nanti.

Menurut Nor Azira, minatnya dalam seni ini muncul sendiri untuk mengikut jejak langkah kakaknya, Nor Eliya. Sering mengikut ibunya menghantar Nor Eliya menjalani latihan setiap malam menyebabkannya rasa teruja untuk mempelajari seni mempertahankan diri wushu ini.

“Saya meminta kebenaran ibu untuk menyertai kelas wushu ketika usia enam tahun dan usaha keras sejak empat tahun lalu amat berbaloi kerana kini sudah boleh melakukan aksi sama seperti kakak.

“Bagi saya walaupun banyak pergerakan dalam seni ini agak susah untuk dikuasai, tetapi ia unik. Setiap teknik dan pergerakan saya ambil masa kira-kira sebulan untuk kuasai sepenuhnya. Saya seronok kerana dapat bercampur dengan rakan daripada berlainan bangsa, tetapi hubungan kami erat bagaikan sebuah keluarga besar.

“Mereka sentiasa membantu saya apabila saya mempunyai masalah untuk mempelajari sesuatu teknik,” katanya.

Katanya Nor Azira lagi, dia amat menyukai pergerakan lasak dan laju iaitu ‘nanquan’. Meskipun dia pernah mengalami kecederaan sehingga kakinya terseliuh, Nor Azira tidak fobia dan masih gigih meneruskan latihan seperti biasa. Baginya, ‘nanquan’ sangat menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada dirinya.

“Walaupun masih kecil, saya tidak janggal bermain senjata seperti pedang, kayu atau parang. Ini lebih menjadikan saya berani menghadapi apa juga rintangan yang mendatang. Kini saya membuat persediaan untuk pertandingan wushu akan datang. Apabila ada masa terluang di rumah, saya dan kakak akan berlatih wushu di rumah selain menjalani latihan setiap malam di SJKC Cheng, Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:00 AM