FITRI SAARI
FITRI SAARI
Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Di sebalik undian mudah, Malaysian Tigers tetap perlu berwaspada dengan ancaman Bangladesh yang mendapat sentuhan bekas jurulatih negara, Iman Gobinathan menjelang saingan Sukan Asia Indonesia 2018, minggu depan.

Iman pernah bertindak sebagai pembantu jurulatih buat skuad hoki lelaki negara pada tahun 2015 sebelum dilantik membimbing skuad hoki dalam dewan wanita negara untuk menghadapi Sukan SEA 2017.

Malah, tidak mengejutkan jika semua kekuatan dan kelemahan Malaysia berada dalam poket Iman tatkala Bangladesh kini dilihat berupaya melakar kejutan selepas menunjukkan peningkatan ketara termasuk tewas tipis 3-2 kepada Korea Selatan, baru-baru ini.

Namun bagi perancang tengah negara Fitri Saari, bukan hanya Bangladesh tetapi tiga lawan kerdil lain seperti Kazakhstan, Thailand dan Oman juga perlu dihormati ketika Pakistan menjadi satu-satunya pasukan kuat yang akan ditemui Malaysia dalam Kumpulan B.

“Bagi saya peluang untuk menang emas tetap ada, cuma kami perlu memanfaatkan peluang sebaik mungkin dan tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan gol,” kata Fitri.

“Kami perlu memberi 100 peratus pada setiap perlawanan, tidak kira walaupun bertemu Kazakhstan, Oman mahupun Bangladesh.

“Sekiranya mendapat peluang untuk menjaringkan gol kami perlu memanfaatkannya kerana dengan cara itu kami dapat membunuh permainan lawan di awal aksi.”

Berdasarkan undian awal, Malaysia dilihat mampu menjuarai Kumpulan B untuk menempah tiket separuh akhir menentang naib juara Kumpulan A yang dijangka menjadi milik Korea Selatan ataupun Jepun.

Andai mampu mengatasi salah satu lawan terbabit, Malaysia kemudiannya dijangka akan berdepan jaguh nombor satu Asia, India di final yang mungkin boleh menjadi watak pemusnah skuad kendalian Stephen Van Huizen dalam usaha meraih slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kempen Malaysia di Jakarta bermula dengan pertemuan menentang Kazakhstan pada 20 Ogos, diikuti Thailand (22 Ogos), Bangladesh (24 Ogos), Pakistan (26 Ogos) dan yang terakhir Oman (28 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 1:36 AM