SHAHRIL azam bantu Speedy Tiger cipta kemenangan pada aksi Piala Asia. FOTO/AIZUDDIN SAAD
SHAHRIL azam bantu Speedy Tiger cipta kemenangan pada aksi Piala Asia. FOTO/AIZUDDIN SAAD
Naqib Nor Said


PENYERANG hoki negara Shahril Saabah mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran gol di sebalik tekanan yang diletakkan di bahunya selepas hanya berupaya menjaringkan satu gol pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Shahril, 23, muncul seorang daripada barisan lima penggempur Malaysian Tigers yang disandarkan harapan untuk mencari gol apabila skuad negara turun membuka kempen Piala Asia menentang China di Dhaka, Khamis ini.

Malah sebagai antara pakar pukulan sudut penalti negara, ia sesuatu yang agak mengecewakan buat anak jati Kuala Lumpur itu gagal menepati status sebagai penyumbang utama gol, namun Shahril mempunyai alasannya tersendiri.

“Bagi kejohanan kali ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran gol, apa yang penting adalah kemenangan pasukan.

“Malah saya juga tidak begitu bimbang dengan situasi pukulan sudut penalti kerana kami ada ramai pakar iaitu Razie Rahim, Faizal Saari, Najmi Farizal (Jazlan) dan Syed Syafiq Syed Cholan.

“Saya hanya flicker ketiga berbanding Razie dan Faizal yang menjadi dua pakar flick utama, namun sekiranya diberi peluang Insya-Allah saya tidak akan menghampakan semua,” katanya hari ini.

Selepas China, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan bertemu Korea Selatan Sabtu ini dan Oman (16 Oktober) dengan hanya dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B akan layak ke pusingan round robin yang menjadi medan penentuan terakhir untuk merebut tiket ke final.

Walaupun sudah layak ke Piala Dunia 2018 di India, namun skuad kendalian Stephen Van Huizen memburu penamat terbaik di Bangladesh dalam usaha memperbaiki kedudukan ranking ke-12 dunia yang dihuni mereka katika ini bagi mencari laluan mudah ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Shahril berkata, biarpun turun sebagai pasukan pilihan, namun Malaysia tetap perlu berwaspada dengan ancaman dua seteru utama India dan Jepun yang berada dalam Kumpulan A bersama Pakistan dan tuan rumah Bangladesh.

“Saya harap rakan sepasukan dapat tampilkan persembahan terbaik kerana kami sedar pasukan seperti India mempunyai barisan pemain yang hebat dan Jepun juga mempunyai pemain muda yang bagus dan pantas,” katanya.

Sepanjang sembilan edisi sebelum ini, Malaysia tidak pernah melangkah ke final Piala Asia dengan pencapaian terbaik mereka hanya meraih tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India.

Juara bertahan, Korea Selatan muncul pemenang terbanyak dengan empat kali diikuti Pakistan (tiga) dan India (dua).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:14 PM