SKUAD hoki lelaki negara (jersi putih) kini sedang berentap di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di India. FOTO FB HOCKEY INDIA
SKUAD hoki lelaki negara (jersi putih) kini sedang berentap di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di India. FOTO FB HOCKEY INDIA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan hoki lelaki negara mempunyai peluang terbaik untuk meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, seterusnya layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada sesi undian yang berlangsung hari ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia.

Manakala India yang berada di kedudukan keempat dunia diundi dalam kumpulan A bersama-sama Pakistan, Jepun, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Berdasarkan undian itu, pasukan bimbingan A Arulselvaraj dilihat tidak mempunyai masalah untuk mara ke separuh akhir dan di atas kertas, Korea Selatan antara pasukan yang mampu menggugat kedudukan negara untuk muncul juara kumpulan.

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, undian itu memang sudah dijangka berdasarkan kedudukan ranking semasa ketika ini.

"Memang seperti dijangka, kita akan berada dalam Kumpulan B bersama Korea dan China. Ia ditentukan oleh kedudukan di ranking dunia.

"Bagaimanapun kita tak boleh ambil mudah dan akan ambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan. Sasaran awal untuk layak ke separuh akhir," katanya.

Mereka wajar mengambil pengajaran kejadian di Sukan Asia Palembang-Jakarta, lima tahun lalu, apabila skuad hoki yang dibimbing Stephen Van Huizen dikecewakan Jepun pada saat terakhir.

Sementara itu, dalam saingan wanita pula menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara 2018 iaitu India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Kumpulan B pula membariskan juara bertahan, Jepun, China, Thailand, Kazakhstan dan Indonesia.

Pemenang pingat emas Sukan Asia akan mendapat slot automatik ke Paris 2024.

UNDIAN HOKI SUKAN ASIA HANGZHOU

Lelaki

Kumpulan A: India, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Singapura, Uzbekistan.

Kumpulan B: Malaysia, Korea Selatan, China, Oman, Indonesia, Thailand.

Wanita

Kumpulan: India, Korea Selatan, Malaysia, Hong Kong, Singapura.

Kumpulan B: Jepun, China, Thailand, Kazakhstan, Indonesia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 6:46 PM