STADIUM hoki Bukit Jalil akan menjadi tempat untuk Siri Hoki Final. FOTO/FAIL
STADIUM hoki Bukit Jalil akan menjadi tempat untuk Siri Hoki Final. FOTO/FAIL
Jugjet Singh

 

PERSEKUTUAN Hoki Antarabangsa (FIH) hari ini mengumumkan Malaysia memenangi bidaan untuk menganjurkan Siri Hoki Final di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 23 April sehingga 1 Mei tahun depan.

 Penganjuran kejohanan itu membuka satu lagi ruang kepada Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun ia dilihat lebih sukar berbanding untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia di Jakarta.

 Skuad negara perlu beraksi pada pentas final kejohanan itu untuk layak ke kempen kelayakan Sukan Olimpik, kejohanan yang menentukan enam atau tujuh pasukan layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu, bergantung sekiranya Jepun memenangi pingat emas Sukan Asia.

 "Memenangi pingat emas di Sukan Asia kekal menjadi sasaran utama kami kerana ia sebahagian daripada  keperluan dalam Program Podium dan kami juga sudah melakukan perancangan jangka panjang.

 "Bagaimanapun menjadi penganjur kepada Siri Hoki Final membuka satu lagi peluang kepada kami," kata ketua jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen.

 FIH dalam laman web badan induk itu menyatakan: "Siri Hoki Final menandakan kembalinya semula kejohanan di bawah FIH yang dianjurkan di Malaysia buat kali pertama sejak yang terakhir Trofi Juara-Juara lelaki pada 2014.

 "Dengan pengalaman luas menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa di stadium hoki antara yang terbaik di dunia seperti Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Sultan Johor, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pasti tahu bagaimana untuk menjayakan kejohanan ini."

 Sementara itu, Stephen menambah: "Beraksi di Bukit Jalil akan menambahkan keyakinan kami selain tidak perlu bimbang mengenai faktor pemakanan dan cuaca."

 Di Sukan Asia, peluang Malaysia bergantung kepada saingan peringkat kumpulan yang masih belum diumumkan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

 Bagi acara lelaki, selain Malaysia dan Indonesia selaku tuan rumah, negara yang turut layak beraksi adalah India, Pakistan, Korea Selatan, China, Jepun, Oman, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand dan Taiwan.

 Acara wanita pula membabitkan 10 pasukan iaitu Indonesia, Korea Selatan, China, India, Jepun, Malaysia, Thailand, Hong Kong, Taiwan dan Kazakhstan.

  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 9:07 PM