SKUAD TLHT  sedia hadapi saingan Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.
SKUAD TLHT sedia hadapi saingan Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Kapten Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Noor Amarina Ruhani tetap menaruh harapan skuadnya mampu menjadi pencabar terkuat dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.

Malah kapten skuad Malaysian Tigress itu percaya kehadiran tiga bintang import dari India dan dua dari Kazakhstan mampu memberi impak besar buat pasukannya dalam misi merampas kembali kejuaraan liga dan Piala Vivian May Soars yang terlepas pada musim lalu.

"Edisi kali ini peluang terbaik buat pasukan kami memburu kejuaraan liga dan Piala Vivian May Soars kerana kami diperkuatkan pemain import termasuk penjaga gol berpengalaman kelahiran Kazakhstan, Bakhavaddin Guzal.

"Selain itu kami juga turut dibarisi enam pemain kebangsaan yang sudah pasti memberi kelebihan untuk merampas kembali kejuaraan liga dan piala itu sebagaimana musim 2017.

"Kami percaya adunan pemain tempatan dan import ini bakal memantapkan lagi benteng sekali gus menambah 'sengat' pasukan untuk memburu kemenangan. ketika ditemui.

Aksi pembukaan esok (Khamis) skuad kendalian Iman Gobinathan itu bakal membuat perhitungan dengan pasukan Sekolah Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di laman lawan sebelum bertemu pasukan PSHA MSSPP di Stadium Hoki Batu Buruk pada 14 Januari.

Musim ini selain juara bertahan, PKS Uniten dan penyandang juara Piala Vivian May Soars 2018 Blue Warriors, pasukan jemputan dari China, Kelab Hoki Liaoning Infinite Space (LISHC) turut menjadi pencabar skuad TLHT itu.

Sementara itu Iman tidak mahu pemainnya terlalu yakin pada aksi pertama sebaliknya perlu beraksi seperti dirancang selain tidak mengambil mudah keupayaan pasukan lawan.

"Semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi aksi pertama ini, namun kami berharap pemain tempatan dan import dapat serasi dengan lebih cepat," katanya yang menyatakan semua pemain import bakal diturunkan dalam aksi pertama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 4:36 PM