Eden Hazard. Foto AFP
Eden Hazard. Foto AFP
Agensi

MOSCOW: Bintang Belgium, Eden Hazard mendedahkan dia membesar sebagai penyokong Perancis menjelang pertembungan separuh akhir Piala Dunia antara kedua-dua pasukan, awal pagi Rabu ini.

Penyerang Chelsea itu membantu negaranya layak ke separuh akhir, Jumaat lalu selepas dia bersama rakan sepasukan berjaya mengatasi pasukan pilihan, Brazil 2-1.

Namun, Hazard pastinya berdepan situasi berbelah bahagi selepas mengakui mula menjadi peminat tegar Perancis sejak kejayaan Les Bleus menjulang Piala Dunia 1998.

Pemain berusia 27 tahun itu membesar di sebuah kawasan Belgium yang menutur bahasa Perancis dan begitu dekat dengan negara itu kerana menyertai Lille sejak berusia 14 tahun.

Bercakap menjelang pertembungan awal pagi Rabu ini, Hazard mengakui: "Saya bersama adik beradik sentiasa menyokong Perancis lebih dari Belgium kerana membesar dengan kejayaan skuad 1998.

"Pada masa itu, tidak terdapat jersi Belgium, sebab itu kami sering memakai jersi Perancis.

"Saya bukan hendak merendahkan kemampuan pasukan Belgium ketika itu, mereka adalah pemain yang bagus, tetapi pada masa itu Perancis lebih hebat."

Malah, sehingga kini Hazard mengakui dia mempunyai pemain Perancis yang digemarinya iaitu Kylian Mbappe.

"Saya menghormati dengan apa yang dilakukannya ketika ini. Jika Mbappe menonton video saya ketika dia kecil, hari ini saya pula menonton videonya." 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 8:48 PM