SOUTHGATE (atas tengah) meraikan kejayaan England mara ke suku akhir Piala Dunia. -Foto AFP
SOUTHGATE (atas tengah) meraikan kejayaan England mara ke suku akhir Piala Dunia. -Foto AFP
AFP

MOSCOW: England menjadi pasukan terakhir mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia selepas melakar kemenangan dramatik ke atas Colombia menerusi penentuan penalti manakala pasukan pilihan, Brazil dan Perancis sudah mula membuat persiapan bagi menghadapi lawan mereka di peringkat lapan terbaik.

Kemenangan The Three Lions ke atas Colombia bakal menyaksikan skuad bimbingan Gareth Southgate berdepan Sweden yang turut mara selepas menewaskan Switzerland 1-0.

Kedua-dua pasukan berada di bahagian bawah undian bersama tuan rumah, Russia dan Croatia dengan England menjadi satu-satunya pasukan yang pernah bergelar juara dalam kalangan empat pasukan berkenaan.

Kelompok atas undian tampak lebih sukar apabila dibarisi juara 1998, Perancis yang akan menentang juara dua kali, Uruguay dan Brazil berdepan Belgium.

Sepakan penalti terakhir yang diambil Eric Dier memberikan kemenangan pertama kepada The Three Lions dalam penentuan penalti di Piala Dunia sekali gus menamatkan badi yang menghantui mereka sejak sekian lama.

Bagaimanapun, Southgate berkata dia sudah tidak sabar untuk mengharungi aksi suku akhir menentang Sweden, Sabtu ini di Samara. Jika menang mereka akan bertemu sama ada Croatia atau Russia bagi perebutan tempat ke final.

“Ini sangat istimewa tetapi saya mahu pasukan melangkah lebih jauh,” kata Southgate yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika England tewas di tangan Jerman dalam aksi separuh akhir Euro 1996 di Wembley.

Belgium hampir menjadi salah satu pasukan pilihan terbaru yang tersingkir selepas ketinggalan 2-0 ketika waktu permainan berbaki 21 minit namun jaringan kemenangan Nacer Chadli pada minit ke-94 masa kecederaan melengkapkan kebangkitan hebat Red Devils.

Eden Hazard, Romelu Lukaku, Dries Mertens dan Kevin De Bruyne sudah pasti meresahkan pertahanan Brazil walaupun gergasi Amerika Selatan itu hanya melepaskan satu gol dalam empat perlawanan setakat ini.

“Sudah tentu ia satu perlawanan yang anda idamkan dan nikmatinya sejak saat pertama aksi bermula,” kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez.

Perancis pula kurang menyerlah di peringkat kumpulan tetapi mempamerkan kemampuan sebenar ketika membenam Argentina 4-3 dengan Mbappe menjaringkan dua gol bagi menempah pertembungan dengan Uruguay.

“Kami bersedia untuk aksi seperti itu sejak sekian lama, ” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Kejayaan Uruguay pula ditunjangi kekuatan bahagian pertahanan diketuai gandingan Jose Gimenez dan Diego Godin yang beraksi di Atletico Madrid sambil bahagian serangan menggabungkan ketajaman Luis Suarez dan Edinson Cavani yang menjaringkan lima gol setakat ini.

Tiada pasukan dari Amerika Selatan yang muncul juara di Eropah sejak Pele dan Brazil melakukannya 60 tahun lalu namun Piala Dunia penuh dengan kejutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 11:51 AM