EDEN Hazard gembira dengan kemenangan ke atas Brazil pada aksi suku akhir, Jumaat lalu. Foto/AFP
EDEN Hazard gembira dengan kemenangan ke atas Brazil pada aksi suku akhir, Jumaat lalu. Foto/AFP
AFP

EDEN Hazard adalah salah seorang pemain terbaik yang pernah dihasilkan oleh sistem akademi bola sepak di Perancis beberapa dekad lalu.

Namun, dia kini menjadi ancaman besar kepada skuad kendalian Didier Deschamps untuk menjulang Piala Dunia.

Hazard anak kepada dua bekas pemain bola sepak yang dilahirkan di Braine-le-Comte, Belgium itu, mendapat perhatian meluas sehingga dipancing kelab Lille ketika berusia 14 tahun.

Dua tahun kemudian, dia membuat penampilan profesional pertama di Ligue 1 dan menjadi pemain paling berbakat dalam kancah bola sepak Perancis apabila dua kali dinobatkan selaku pemain terbaik serta membantu Lille menjuarai Ligue 1 dan kejuaraan berganda pada 2010-11.

Dia tidak kekal lama di Perancis apabila menjadi rebutan kelab kaya dengan Chelsea sanggup membayar 32 juta pound sterling (RM171 juta) pada 2012 untuk mendapatkan khidmatnya.

Dalam enam musim di England, Hazard sudah memenangi dua gelaran liga serta memikat hati ramai pihak terutama penyokong skuad Blues.

Berdasarkan persembahan di Russia setakat ini, Hazard dilihat sebagai harapan skuad generasi emas Belgium untuk membawa pulang trofi Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara itu.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez meletakkan kepercayaan sepenuhnya dengan kualiti kepimpinan yang ada pada Hazard meskipun Vincent Kompany kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

"Saya fikir Hazard berada dalam detik terbaik dalam kariernya," kata Martinez sebelum kejohanan bermula.

"Lihat pada usianya, dia sekarang adalah kapten dan dari segi kepimpinan, dia tidak ada masalah untuk melaksanakan tugas itu."

Kesungguhan dan kebolehan Hazard untuk membawa bola di bawah tekanan dalam permainan membantu Belgium mencatat kemenangan paling hebat di Piala Dunia dengan menewaskan Brazil pada suku akhir.

Ketika pasukannya berada dalam tekanan ketika mendahului 2-1, Hazard kerap melarikan bola ke bahagian atas pada minit-minit akhir permainan bagi membantu bahagian pertahanannya daripada terus diserang Brazil.

Selepas berjaya menenggelamkan kehebatan bintang Brazil Neymar pada aksi lapan pasukan terakhir, Hazard kini meletakkan dirinya dalam buruan kelab besar Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 8:56 AM