ALSANAWI ketika selesai menggayakan rambut Pogba. FOTO/AFP
ALSANAWI ketika selesai menggayakan rambut Pogba. FOTO/AFP
Agensi

MOSCOW: Pandai menggayakan potongan rambut yang cantik menjadikan tukang gunting rambut dari London, Ahmed Alsanawi sebagai pilihan amat popular di kalangan bintang bola sepak berpangkalan di England.

Antara pelanggan yang gembira dengan hasil kerjanya termasuk perancang tengah Manchester United, Paul Pogba yang mengajaknya supaya terbang sejauh 3,212 kilometer ke Russia hanya untuk memotong rambut barisan pemain Perancis.

“Dia datang dari London hanya untuk menemui rakannya bagi memastikan saya kelihatan segar,” kata Pogba mengulas kedatangan Ahmed ke hotel pasukannya.

Seramai 13 pemain Perancis dikatakan menggunakan khidmat Ahmed selepas mereka bersepakat membeli tiket penerbangan buatnya baru-baru ini.

Menurut tukang gunting rambut berusia 26 tahun itu, sukar untuknya menolak peluang untuk menjadi sebahagian daripada Piala Dunia.

“Mereka menghantar mesej kepada saya ‘Adakah awak boleh datang ke Russia? Saya menjawab ‘Ya’ dan kemudian mereka terus menempah tiket penerbangan,” kata Ahmed.

“Saya terus ke sana dalam tempoh 24 jam dan menggunting rambut 13 pemain Perancis sebelum pulang ke London keesokan harinya.”

Ahmed yang juga penyokong setia Chelsea bukan nama asing bagi bintang bola sepak di England dengan pelanggannya terdiri daripada Pogba, Victor Moses dan Eden Hazard.

Dia juga pernah dikenakan perintah larangan daripada berada berhampiran kem latihan Chelsea selepas dituduh menayang gambar bersama pemain bintang demi meningkatkan populariti perniagaannya.

Difahamkan, Ahmed akan sekali lagi terbang ke Russia, namun kali ini bagi memotong rambut bintang Belgium, Hazard, hanya dua hari sebelum pertembungan menentang England pada awal pagi Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:41 PM