HAZARD (kanan) yakin berpeluang untuk pamer aksi terbaik. FOTO/AFP
HAZARD (kanan) yakin berpeluang untuk pamer aksi terbaik. FOTO/AFP
Reuters

ROSTOV, Russia: Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo adalah watak utama di Piala Dunia namun kedua-duanya sudah pulang selepas negara masing-masing tersingkir, namun pemain Belgium, Eden Hazard percaya ini adalah masanya untuk menyinar di pentas besar.

Kedua-dua pemain sudah memenangi Ballon d’Or, anugerah paling besar bagi individu, malah kedua-duanya sentiasa mengatasi satu sama lain sejak 2008.

Bagaimanapun, Messi terpaksa akur dengan kekalahan 3-4 Argentina dan Ronaldo pula kecewa selepas Portugal tunduk 1-2 kepada Uruguay pada pusingan kedua.

Ia memberi ruang kepada pemain lain untuk mengambil alih, yang mana bintang Perancis, Kylian Mbappe dengan bergayanya mengatasi kehebatan Messi.

Empat tahun lalu, Jose Mourinho ketika bersama Chelsea pernah mengakui, Ronaldo dan Messi adalah bintang, manakala Hazard adalah tonggak muda yang mampu menyinar jika diberi masa.

“Hazard setakat ini masih lagi berdepan kekecewaan dalam setiap kejohanan utama dunia,” katanya.

Pada Piala Dunia 2014, Belgium mara ke suku akhir, tumpas kepada naib juara ketika itu Argentina, gagal menyinar seperti di peringkat kelab.

Dua tahun lalu, mereka mara ke suku akhir Euro 2016 tetapi disingkirkan Wales dengan Hazard sekali lagi tidak mampu mempamerkan watak sebenar.

“Saya berharap mampu menyinar. Ronaldo dan Messi sudah tidak berada di Piala Dunia jadi ini adalah masa saya. Saya mahu membantu pasukan mara ke suku akhir dan separuh akhir.

“Belgium kini lebih berpengalaman dan gandingan Romelu Lukaku bersama Dries Mertens sudah membuktikannya selepas kami menjaringkan sembilan gol dalam tiga perlawanan awal.

“Kami bertiga sudah mencapai tahap terbaik sejak kami mula bermain bola sepak,” kata Hazard.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 1:03 AM