KYLIAN Mbappe pemain muda Perancis yang bakal menjadi bintang baru dalam bola sepak dunia. Foto REUTERS
KYLIAN Mbappe pemain muda Perancis yang bakal menjadi bintang baru dalam bola sepak dunia. Foto REUTERS
AFP

LUPAKAN seketika Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kerana kini muncul seorang pemain muda berbakat besar yang sudah bersedia untuk menarik perhatian ramai serta mencipta nama selaku generasi baru bintang bola sepak dunia.

Pemain muda Perancis, Kylian Mbappe mempamer aksi bertenaga awal pagi tadi ketika membantu Perancis menewaskan Argentina yang diketuai Messi 4-3 pada pusingan kedua.

Dua gol sumbangannya menjadikan jumlah keseluruhan gol dijaringkan mencecah tiga, hanya ketinggalan dua gol di belakang penjaring terbanyak, Harry Kane dari England dan satu di belakang bintang Belgium, Romelo Lukaku.

Messi dan Ronaldo yang menyaksikan Portugal tewas 1-2 kepada Uruguay diramal akan bertembung di suku akhir, namun kedua-dua bintang itu terpaksa pulang lebih awal.

Messi yang mencipta pelbagai kejayaan bersama Barcelona menyaksikan dia paling hampir menjulang Piala Dunia pada 2014, namun ketika itu Argentina tewas kepada Jerman.

Bintang Real Madrid, Ronaldo pula yang membantu Portugal muncul juara Eropah dua tahun lalu, kemungkinan besar tidak akan beraksi pada edisi Piala Dunia seterusnya sekaligus menyaksikan pencapaian terbaiknya di Piala Dunia adalah pada 2006 ketika Portugal mara ke separuh akhir. 

Mbappe pula mencipta rekod baru yang belum pernah dapat dilakukan sejak 60 tahun lalu apabila muncul pemain muda pertama meledak dua gol di Piala Dunia sejak Pele pada 1958.

“Saya sangat gembira kerana dibandingkan dengan pemain hebat seperti Pele,” kata Mbappe yang lahir beberapa bulan selepas Perancis memenangi Piala Dunia 1998.

“Apapun, adalah sesuatu yang amat hebat dapat tersenarai bersama mereka yang meraih pencapaian luar biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 11:37 AM