SKUAD Piala Dunia Croatia ketika sesi latihan sebelum turun menentang pasukan tuan rumah, Russia di peringkat suku akhir. Foto EPA-EFE
SKUAD Piala Dunia Croatia ketika sesi latihan sebelum turun menentang pasukan tuan rumah, Russia di peringkat suku akhir. Foto EPA-EFE
AFP

CROATIA kini mengintai slot ke separuh akhir Piala Dunia sejak kali pertama pada 1998 ketika mereka membuat penampilan pertama sebagai negara merdeka di kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

Adalah tidak wajar untuk membuat telahan awal dengan kejohanan kali ini penuh dengan elemen kejutan namun adakah skuad Croatia yang akan berdepan pasukan tuan rumah di peringkat lapan pasukan terakhir boleh mengatasi pencapaian dua dekad lalu?

Skuad kendalian Zlatko Dalic ini mempamerkan permainan cukup komprehensif ketika mengalahkan Argentina di peringkat kumpulan sekaligus membuktikan mereka tidak gentar berdepan pasukan yang memiliki nama besar.

England mungkin perlu berhati-hati kerana dua negara ini mungkin akan bertemu di separuh akhir.

Bagaimanapun, ketika Croatia memerlukan sepakan penalti untuk menewaskan Denmark pada pusingan sebelum ini, mereka hadir ke Sochi dengan penuh keyakinan.

"Kami sudah membuktikan dalam kempen Piala Dunia ini bahawa kami boleh meraih kejayaan lebih besar. Kami beraksi sangat baik dan kami mempunyai pemain yang mempunyai keyakinan untuk melangkah jauh," kata pemain pertahanan, Domagoj Vida.

Mana-mana pasukan yang memiliki pemain berkualiti seperti Luka Modric pasti boleh mengimpikan kejayaan besar apatah lagi dia dibantu oleh Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic.

"Dia adalah kapten kami, pemimpin kami, kami semua berdiri di belakangnya," kata pemain sayap Inter Milan, Ivan Perisic mengenai Modric.

Pemain Real Madrid itu dianggap antara pemain tengah terbaik kejohanan ini namun barisan pemain yang dimiliki oleh negara kecil ini adalah menakjubkan.

16 pemain dalam skuad Dalic ini beraksi dalam lima liga utama di Eropah dengan penjaga gol Monaco, Danijel Subasic antara yang mencuri tumpuan apabila menjadi wira dengan menyelamatkan tiga sepakan penalti Denmark.

Seorang lagi pemain, Ante Rebic turut menyerlah di kejohanan ini selepas menyumbat dua gol untuk Eintracht Frankfurt menewaskan Bayern Munich pada final Piala Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 8:18 AM