ZLATKO DALIC
ZLATKO DALIC
AFP

ZAGREB: Walaupun masih dibuai dengan sejarah yang dicipta pada Piala Dunia di Russia, Croatia kembali berdepan realiti sebenar apabila kempen musim baharu mereka bermula dengan aksi persahabatan menentang Portugal, Jumaat ini.

Aksi itu adalah yang pertama buat negara Balkan berkenaan sejak pasukan yang diketuai pemain tengah, Luka Modric layak ke pentas final Piala Dunia sebelum tewas di tangan Perancis – pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan berprestij itu.

Buat masa ini, Modric yang memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dan Bola Emas apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Dunia dianggap sebagai anak emas Croatia.

Reputasinya sebagai wira kebangsaan terus diperkukuhkan apabila memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA, bulan lalu.

Bagaimanapun, Modric yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada Ahad ini serta Pemain Barcelona, Ivan Rakitic tidak disenaraikan untuk aksi bertemu Portugal.

Manakala penjaga gol, Danijel Subasic; penyerang, Mario Mandzukic dan tonggak pertahanan, Vedran Corluka akan menamatkan kerjaya antarabangsa mereka bulan lalu.

Situasi itu membuatkan jurulatih Croatia, Zlatko Dalic terpaksa akur, beliau memerlukan masa untuk membina semula pasukan berkenaan.

“Kami adalah naib juara dunia, kami mencapai kemuncak prestasi di Russia dan kini semuanya akan menurun. Ia adalah perkara biasa,” kata jurulatih itu kepada akhbar Sportske Novosti.

Lapan daripada 22 pemain Piala Dunia tidak akan beraksi awal pagi Jumaat ini termasuk bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang turut diketepikan oleh pasukannya.

Namun, Dalic menegaskan fokusnya adalah untuk perancangan jangka masa panjang.

“Saya tidak bimbang. Ini kerana, matlamat utama saya adalah Euro 2020 bukannya perlawanan menentang Portugal atau Liga Negara-Negara. Kami akan cuba untuk menang tetapi matlamat utama adalah Euro,” katanya.

Dalic menyifatkan perlawanan seterusnya termasuk pertemuan menentang Sepanyol dalam aksi Liga Negara-Negara, 11 September ini sebagai peluang untuk pemain muda membuktikan kemampuan mereka selepas tidak mendapat peluang ketika Piala Dunia.

Ia termasuk pemain tengah, Marko Rog (Napoli), Mateo Kovacic (Chelsea) and Mario Pasalic (Atalanta), selain penyerang, Marko Pjaca (Fiorentina), Ivan Santini (Anderlecht) dan Marko Livaja (AEK Athens).

Lovre Kalinic pula akan mengambil tugas Subasic bagi menjaga gawang Croatia.

“Kami akan menggunakan perlawanan menentang Portugal dan Sepanyol sebagai persiapan bagi mencari tenaga baharu,” kata Dalic.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 10:20 AM