JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic mahukan perjalanan berterusan skuadnya di Piala Dunia. Foto EPA-EFE
JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic mahukan perjalanan berterusan skuadnya di Piala Dunia. Foto EPA-EFE
AFP

ZLATKO Dalic mahukan perjalanan Croatia pada Piala Dunia berterusan selepas pasukan itu menempah tiket ke suku akhir menerusi penentuan penalti yang penuh dramatik dengan menewaskan Denmark.

Croatia memenangi 3-2 ketika penentuan sepakan penalti selepas tamat perlawanan dengan keputusan seri 1-1, bagi menempah tiket bertemu Russia pada Sabtu ini.

Tetapi Dalic berkata, pasukannya yang belum pernah merangkul kejayaan Piala Dunia mahu meneruskan saingan ke tahap lebih tinggi.

“Kami sudah sampai ke sini setakat ini, tetapi kami tidak mahu berhenti di sini,” kata Dalic kepada wartawan selepas kemenangan, hari ini.

Kemenangan menewaskan Denmark di Stadium Nizhny Novgorod menyaksikan kejayaan kedua di gelanggang yang sama ketika Croatia menewaskan Argentina 3-0 dalam peringkat kumpulan.

Pada perlawanan kali ini, ia berbeza buat Croatia apabila mereka bolos satu gol pada minit pertama perlawanan lagi dan ditenggelami pasukan lawan pada babak kedua.

Dalic berkata pasukannya “bermain untuk mendapatkan keputusan” dan dia tidak bimbang terhadap persembahan mereka.

Kejayaan skuad itu bagaimanapun dicapai selepas penjaga gol, Danijel Subasic berjaya menyelamatkan tiga sepakan penalti.

Kejayaan itu mejadikan dia sebagai penjaga gol pertama yang melakukannya selepas pemain Portugal, Ricardo yang turut cemerlang dengan rekod sama ketika menentang England pada 2006.

“Tanpa adanya tuah, anda tidak boleh lakukan apa sahaja dalam hidup ini,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:14 AM