KAPTEN England, Harry Kane (kiri) bersama Harry Maguire dan Jordan Henderson berlatih menjelang final Euro 2020 menentang Itali, malam esok. FOTO AFP
KAPTEN England, Harry Kane (kiri) bersama Harry Maguire dan Jordan Henderson berlatih menjelang final Euro 2020 menentang Itali, malam esok. FOTO AFP
AFP

London: Anak buah Gareth Southgate berharap final Euro 2020, malam esok mampu menamatkan kemarau trofi bagi England selama 55 tahun, tetapi Itali mahu memusnah pesta di Wembley dan bergelar juara Eropah kali kedua sejak 1968.

Kelebihan berpihak kepada kapten England, Harry Kane dan rakan sepasukannya yang terdesak memahat nama dalam buku sejarah dengan memenangi trofi kedua dalam sejarah bola sepak mereka.

Wembley yang menjadi gelanggang ketika England menjulang Piala Dunia 1966 akan dipenuhi 65,000 penonton, esok, sekalipun sekatan masih dilakukan berikutan Covid-19.

England memulakan kejohanan sebagai antara pesaing untuk menjulang trofi dan menggunakan kelebihan bermain semua perlawanan - kecuali suku akhir di Rome - di tempat sendiri.

Anak buah Southgate akan dibantu penyokong yang menggamatkan suasana ketika England mengatasi Jerman di pusingan kedua dan menewaskan Denmark di separuh akhir.

"Kami menunggu sangat lama sebagai pemain, orang awam yang mahu England layak ke final," kata Kane. "Jadi, ini adalah kesempatan yang perlu dicapai dengan kedua-dua tangan."

"Kami memiliki peluang luar biasa untuk menang trofi kedua untuk negara kami. Kami turut berbangga mewakili pemain yang dimiliki dan bermain untuk pasukan sebelum ini.

"Kami teruja menanti final, perlu menikmatinya dan sudah tentu dalam bola sepak, kami mahu menang dan melaksanakan tugas sebaik mungkin Ahad ini."

Menjadi penghalang England adalah skuad kental Itali, yang kembali memulihkan reputasi selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018.

England tidak pernah menewaskan Itali di kejohanan utama, walaupun mereka jarang bertemu dan agak kurang.

Itali menang menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir Euro 2012 di Ukraine dan menang 2-1 di peringkat kumpulan di Piala Dunia 2014, walaupun kedua-dua pasukan tersingkir di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 9:04 PM