ENGLAND mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Senegal. -FOTO AFP
ENGLAND mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Senegal. -FOTO AFP
AFP

Perancis: Gareth Southgate mengakui England akan berdepan "ujian terbesar" dalam usaha mereka merealisasikan cita-cita merangkul Piala Dunia apabila bakal berdepan penyandang juara, Perancis dalam aksi suku akhir Sabtu ini.

Skuad Southgate bangkit daripada permulaan perlahan sebelum meraih kemenangan 3-0 ke atas Senegal dalam pertembungan 16 terbaik di Stadium Al Bayt.

England akan kembali ke Al Khor hujung minggu ini untuk satu perlawanan hebat menentang Perancis yang ingin menjadi pasukan pertama memenangi Piala Dunia berturut-turut sejak Brazil pada 1958 dan 1962.

Biarpun England dilihat cukup mengagumkan sebaik saja Jordan Henderson meletakkan pasukan mereka di hadapan Senegal dengan Harry Kane dan Bukayo Saka turut meledak ketika berdepan juara Afrika itu, Southgate sedar pasukan Didier Deschamps berada di kelas tersendiri.

"Ia adalah ujian terbesar yang kami akan hadapi. Mereka adalah juara dunia dengan bakat yang luar biasa dan pemain yang hebat. Mereka sangat sukar untuk ditewaskan dan menjaringkan gol," kata Southgate.

"Ia satu cabaran yang hebat. Ia adalah persaingan bersejarah dengan permainan hebat di masa lalu. Ia akan perlawanan untuk kami menguji diri menentang yang terbaik."

Sementara itu aksi menakjubkan penyerang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe menyaksikan Perancis menewaskan Poland 3-1 dalam aksi peringkat kalah mati beberapa jam sebelum England menyertai mereka di suku akhir.

Mbappe menjaringkan dua gol ketika menentang Poland dan kini sudahpun meledakkan lima gol di Piala Dunia kali ini.

"Mbappe sudah tentu pemain bertaraf dunia. Dia sudahpun memberikan detik-detik terbaik dalam kejohanan ini dan kejohanan sebelumnya," kata Southgate.

Sementara itu Harry Kane memuji kejayaan England melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan itu ketika menewaskan Senegal 3-0 di pusingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 7:45 AM