ZLATKO Dalic menaruh keyakinan tinggi terhadap benteng pertahanannya. Foto/REUTERS
ZLATKO Dalic menaruh keyakinan tinggi terhadap benteng pertahanannya. Foto/REUTERS
Agensi

JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic menaruh keyakinan tinggi terhadap benteng pertahanannya untuk merantai pergerakan penyerang England apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada separuh akhir Piala Dunia awal pagi Khamis ini, waktu Malaysia.

Ia bukan perkara mustahil untuk dilakukan, apatah lagi Dalic memiliki dua pemain pertahanan terbaik iaitu Domagoj Vida dan Dejan Lovren yang sebelum ini berjaya menyekat bintang Argentina Lionel Messi dan Christian Eriksen (Denmark) dalam kempen kali ini.

Kane setakat ini muncul pendahulu penjaring terbanyak dengan enam gol iaitu kelebihan dua gol dalam mengetuai cabaran England ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1990.

Croatia terpaksa berhempas pulas sehingga ke penentuan sepakan penalti bagi melepasi dua pusingan terakhir menewaskan Denmark dan pasukan tuan rumah, Russia manakala England menyingkirkan Sweden selepas menundukkan Colombia.

Bagaimanapun, selepas menyaksikan anak buahnya menyekat kelincahan pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan perancang Denmark, Eriksen serta hanya melepaskan satu gol dalam dua perlawanan sukar itu, Dalic optimis mereka boleh mengulanginya ke atas Kane.

"Ia pasti sukar, dia penjaring terbanyak dan juga pemain terbaik England bersama Raheem Sterling," kata Dalic dalam sidang media semalam.

"Dejan Lovren tahu corak permainan Kane dan dengan bergandingan bersama Domagoj Vida jadi saya tak bimbang untuk kami menyekat pemain England. Kami menyekat Messi dan Eriksen dan kami akan lakukan perkara sama ke atas Kane."

Kejayaan England mara ke peringkat empat pasukan terakhir diperlekehkan oleh sesetengah pihak selepas mereka dikatakan mendapat laluan mudah dengan menentang Tunisia dan Panama di peringkat kumpulan sebelum bertemu Colombia dan Sweden dalam saingan kalah mati.

Bagaimanapun Dalic berkata: Saya tak fikir England menentang lawan mudah, mereka yang sebenarnya buat ia nampak mudah. Itu perbezaan besar. Mereka masih muda dan berbakat besar. Mereka pantas dan agresif serta bahaya dalam situasi set piece. England tidak ada banyak kelemahan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 12:21 PM