Pemain tengah Australia, Mooy (kanan) akan bertembung perancang Denmark, Eriksen di Saransk. FOTO AFP/Reuters
Pemain tengah Australia, Mooy (kanan) akan bertembung perancang Denmark, Eriksen di Saransk. FOTO AFP/Reuters
Agensi

SAMARA, Russia: Denmark akan bertemu Australia bagi aksi kedua mereka dalam Kumpulan C, malam ini dengan pertembungan menarik dapat disaksikan antara perancang kreatif kedua-dua pasukan iaitu Cristian Eriksen dan juga Aaron Mooy.

Denmark membuka kempen Piala Dunia mereka menerusi kemenangan 1-0 hasil jaringan Yussuf Poulsen yang menyudahkan hantaran Eriksen sementara Australia tewas tipis 1-2 di tangan Perancis.

Mooy menjadi tunjang buat skuad Socceroos dan dilihat sebagai nadi buat pasukan itu apabila membantu serangan menerusi hantaran tepat ke dalam kawasan lawan.

Menjelang pertembungan membabitkan dua bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Mooy mengakui Eriksen akan menjadi ancaman pada aksi yang perlu dimenangi skuad bimbingan Bert van Marwijk itu.

“Dia pemain yang hebat, dia mengharungi musim yang baik dan mungkin pemain Denmark yang paling berbahaya,” kata Mooy.

“Kami perlu menyekatnya daripada menerima hantaran dan ia perlu dilakukan dengan corak permainan berpasukan.”

Kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting bersama kelab masing-masing yang menyaksikan Eriksen mencipta 95 peluang untuk Tottenham sementara Mooy menghasilkan 50 peluang bersama Huddersfield pada musim lalu.

Ketepatan hantaran lintang dan sepakan sudut Eriksen adalah 23.21 peratus, sementara Mooy mencatat 20.43 peratus.

Bukan setakat situasi bola mati yang perlu diperhatikan kedua-dua pasukan, namun hantaran lintang daripada permainan terbuka juga bakal memainkan peranan yang menyaksikan Mooy mencatat 14.1 ketepatan sementara Eriksen dengan 11.9 peratus.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:57 PM