PENYERANG Denmark, Kasper Dolberg (kanan) bersaing dengan pertahanan Gibraltar, Jayce Olivero. — FOTO AFP
PENYERANG Denmark, Kasper Dolberg (kanan) bersaing dengan pertahanan Gibraltar, Jayce Olivero. — FOTO AFP
Reuters

DENMARK bermula lembap sebelum membenam Gibraltar 6-0 awal pagi tadi untuk menghuni tangga teratas Kumpulan D dan mencetus aksi penentu kelayakan Euro 2020 di Dublin, awal pagi Selasa ini.

Denmark akan layak ke pusingan akhir Euro 2020 jika mereka mengelak kekalahan menentang Ireland di Stadium Aviva, selepas melonjak tiga mata di depan lawan.

Namun mereka perlu menajamkan permainan selepas bergelut sebelum menundukkan negara kerdil Gibraltar, jumlah penduduknya tidak lebih berbanding 24,033 yang menyaksikan perlawanan di Stadium Parken, Copenhagen.

Pemain sayap Robert Skov membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas penjaga gol Gibraltar, Kyle Goldwin dua kali gagal menangkap kemas bola namun tuan rumah bergelut untuk menambah jaringan pada babak pertama.

SKOV (kanan) meraikan gol pembukaan menentang Gibraltar di Stadium Parken. — FOTO AFP
SKOV (kanan) meraikan gol pembukaan menentang Gibraltar di Stadium Parken. — FOTO AFP

Sejurus selepas rehat, Goldwin tersalah congak untuk menghalang hantaran jauh pemain Denmark sekali gus menyaksikan penyerang Christian Gytkjaer meluru melepasinya untuk menjaringkan gol.

Martin Braithwaite menampan masuk gol mudah empat minit kemudian selepas Goldwin menumbuk percubaan Christian Eriksen dan Skov meraih gol kedua peribadi pada minit ke-64 ketika benteng Gibraltar gagal menangani hantaran lintang.

Eriksen meledak gol kelima dengan rembatan dari luar kotak penalti enam minit sebelum tamat dan kemudian menambah satu lagi dengan sepakan terakhir perlawanan.

Denmark meraih 15 mata daripada tujuh perlawanan, satu mata di depan pasukan tangga kedua Switzerland, yang menamatkan kempen mereka di Gibraltar awal pagi Selasa ini. Ireland mesti mengalahkan Denmark untuk layak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 11:59 AM