KANE (kanan) melepaskan rembatan ke gawang Millwall.
KANE (kanan) melepaskan rembatan ke gawang Millwall.
Reuters

London: Jaringan hatrik Harry Kane mengubah perlawanan pusingan kelima Piala FA Tottenham Hotspur berdepan kelab Liga Kejuaraan seperti bersiar-siar di Sungai Thames pada hujung minggu selepas meraih kemenangan 3-0 di Craven Cottage.

Penyerang England Kane menjaringkan gol awal dan dua lagi pada babak kedua untuk mengumpul 19 gol musim ini dan membolehkan juara Piala FA lapan kali itu mudah mara ke suku akhir apabila berdepan pasukan divisyen tiga Millwall.

Ia jaringan hatrik kedua Kane dalam tujuh perlawanan terakhirnya dan kini menjaringkan 20 gol daripada 22 pertembungan dua kelab London itu.

Selepas berdepan kekalahan berturut-turut kepada Liverpool dalam Liga Perdana dan Gent dalam aksi 32 pasukan terakhir Liga Europa dan bimbang menjadi satu lagi kejutan hujung minggu, pengurus Tottenham Mauricio Pochettino menurunkan barisan terkuat dan menerima ganjarannya.

“Selepas tewas dua kali, ramai pemain mahu bermain hari ini, ia peluang terbaik untuk membuktikan kami masih bernafas,” kata Pochettino. “Keyakinan meningkat hari ini.

“Kami mengadakan pertemuan selepas menentang Gent dan reaksinya begitu hebat.”

Memandangkan pertahanan tengah Belgium Jan Vertonghen kembali daripada kecederaan buku lali akibat terlepas lima aksi dan Kane pula pulih selepas perlanggaran sewaktu tewas 0-1 di Belgium Khamis lalu, Tottenham berjaya mengekang asakan Fulham.

Spurs mendahului pada minit ke-16 menerusi pergerakan mudah. Pertahanan kanan Kieran Trippier yang dibawa masuk bagi menggantikan Kyle Walker, membuat balingan jauh yang disambut pemain Denmark Christian Eriksen yang kemudiannya melakukan hantaran leret yang disempurnakan voli bertenaga Kane.

Dia menggandakan jaringan pada minit ke-51 yang sekali lagi dibantu hantaran Eriksen dan menamatkan cabaran Fulham pada minit ke-73 apabila berlari tanpa dihalang untuk menyambut hantaran cantik Dele Alli dan berjaya merembat melepasi penjaga gol Marcus Bettinelli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:24 AM