DATUK Lee Chong Wei berjaya menewaskan pemain dari India, HS Prannoy ketika aksi separuh akhir badminton di Carrara Stadium, Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali
DATUK Lee Chong Wei berjaya menewaskan pemain dari India, HS Prannoy ketika aksi separuh akhir badminton di Carrara Stadium, Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali
Helmi Talkah

 

JAGUH perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei perlu menjadi ‘pakar motivasi’ skuad negara menjelang pusingan akhir Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand yang bermula 20 hingga 27 Mei depan.

Bekas pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, sebagai pemain paling senior, Chong Wei, 36, perlu memainkan peranan menyuntik semangat rakan-rakan untuk kekal fokus sepanjang kejohanan berlangsung sekali gus menghadirkan kejayaan buat Malaysia.

“Saya tahu ia mungkin tanggungjawab agak berat untuk Chong Wei kerana dia juga sandaran bagi menyumbang mata kepada pasukan. Namun, Chong Wei adalah pemain paling senior dan berpengaruh.

“Ini adalah kejohanan berpasukan, jadi setiap pasukan memerlukan seseorang yang sentiasa ada untuk memberi kata-kata semangat tidak kira menang atau kalah. Dalam situasi ini, Chong Wei adalah yang paling layak.

“Dia mempunyai pengalaman cukup luas, sudah pasti dia tahu apa yang perlu dilakukan khususnya ketika kita kalah,” kata Jalani yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Denmark, Russia dan Algeria.

Jalani berkata, biarpun atas kertas peluang Malaysia tampak sukar tetapi beliau tetap percaya skuad negara mampu sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir dengan syarat semua pemain perlu menunjukkan semangat juang dan kesungguhan yang tinggi.

“Kalau kita lihat pencapaian skuad negara dalam dua edisi terakhir sebelum ini (final edisi 2014 dan separuh akhir edisi 2016), ia boleh dianggap membanggakan. Situasinya sama juga dengan sekarang yang mana kita dilihat tidak mempunyai kekuatan seimbang.

“Namun, pemain buktikan sebaliknya dan tunjukkan semangat berpasukan yang tinggi. Cuma, kali ini pemain perlu melipat gandakan usaha kerana setiap edisi cabarannya lebih sukar dengan peningkatan prestasi pemain dari negara lain,” kata Jalani.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:17 PM