CHONG Wei sandaran raih satu mata di Kejohanan Berpasukan Asia, Februari depan.
CHONG Wei sandaran raih satu mata di Kejohanan Berpasukan Asia, Februari depan.
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Acara beregu bakal memainkan watak penting buat skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Bekas pakar beregu negara Datuk Seri Jalani Sidek berkata, berdasarkan situasi pemain perseorangan lelaki, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan dua mata disumbangkan menerusi acara beregu lelaki.

“Kalau anda tengok, satu mata daripada perseorangan lelaki menerusi Datuk Lee Chong Wei sudah hampir pasti. Mereka memerlukan dua lagi mata untuk menang dan tanggungjawab sudah pasti perlu digalas oleh dua beregu.

“Berdasarkan situasi sekarang, beregu lelaki nampak lebih mantap berbanding perseorangan lelaki. Jadi, merekalah harapan pasukan, cuma mereka perlu dipersiapkan dari aspek mental supaya dapat menyerap setiap tekanan,” kata Jalani.

Magis pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kembali disatukan selepas berpisah selama tiga bulan pastinya ditagih bagi menyumbang mata buat skuad negara selain mengharapkan sentuhan pasangan kedua Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir kejohanan di Alor Setar itu akan layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Jalani yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992 berkata, biarpun sukar peluang skuad negara untuk layak secara merit ke Bangkok peluang tetap ada selagi pemain menunjukkan komitmen tinggi.

“Sebenarnya apa yang menjadikan ia sukar Malaysia menjadi tuan rumah pusingan kelayakan. Sudah pasti tekanannya cukup tinggi.

“Namun jika semua pemain dipersiapkan dengan betul terutama dari aspek mental, tetap ada peluang untuk ke pusingan akhir,” kata Jalani yang turut bersetuju dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia melantik dua pakar psikologi Datuk Lawrence Chan dan Frederick Tan bagi membantu pemain negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 10:47 AM