CHONG Wei. FOTO  Eizairi Shamsudin
CHONG Wei. FOTO Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terlalu bergantung harap kepadanya dalam usaha memastikan kemenangan buat Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, minggu depan.

Pemain nombor dua dunia itu berkata, semua pemain yang disenarai ke kejohanan itu perlu memikul tanggungjawab sama terutama dalam misi membantu Malaysia melakar kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Pemain perlu mempunyai semangat kerjasama sepasukan yang tinggi dan memainkan peranan masing-masing untuk menyumbang mata.

“Semua pemain tidak kira perseorangan mahupun beregu perlu memainkan peranan. Ini kejohanan berpasukan, jadi kami tidak boleh harapkan seorang saja dan apa yang paling penting adalah semangat sepasukan... kita menang sama-sama kita kalah sama-sama.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk menyumbang mata pertama kepada pasukan. Diharapkan rakan lain juga begitu, pemain perlu fikir apa yang mereka mahukan apabila beraksi pada kejohanan ini,” kata Chong Wei yang akan mengetuai cabaran skuad negara di Alor Setar.

Ditanya mengenai moral pemain negara bagi menghadapi kejohanan yang juga pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018, Chong Wei percaya rakan sepasukannya sudah bersedia dan teruja untuk memulakan aksi.

“Kali ini empat pemain perseorangan dan tiga beregu disenaraikan. Kalau lihat, semuanya membuat persiapan terbaik dan mereka pastinya mahu memberikan yang terbaik kepada pasukan.

“Kami akan berangkat ke Alor Setar minggu ini (Jumaat). Di sana nanti kami harap dapat membentuk kerjasama yang lebih baik dan menanamkan semangat sepasukan yang tinggi dalam diri masing-masing,” kata Chong Wei.

Sebagai pilihan ketujuh, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Thailand dan Myanmar.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik layak ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:38 AM