AMIRUL (tengah) pamer prestasi terbaik pada final Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun (B-16) Kebangsaan.  FOTO/AIZUDDIN SAAD
AMIRUL (tengah) pamer prestasi terbaik pada final Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun (B-16) Kebangsaan. FOTO/AIZUDDIN SAAD
Naqib Nor Said


AMIRUL Haniff Mamat - ingat nama ini!

Penyerang berusia 15 tahun itu menunjukkan potensi besar sewaktu membantu Perak mengatasi Johor 5-3 menerusi penentuan penalti pada final Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun (B-16) Kebangsaan.

Pada aksi yang berkesudahan 1-1 selepas masa permainan sebenar, Amirul yang muncul antara enam pemain paling muda dalam pasukan Perak nyata memberi impak cukup berkesan sepanjang 60 minit permainan.

Beberapa lariannya berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan Johor terutamanya dalam 45 minit pertama aksi, malah dia yang sebelum ini dijulang sebagai wira ketika Perak menjuarai Kejohanan B-14 Kebangsaan, Disember lalu turut dilihat memiliki kemahiran menggelecek yang tinggi.

Kelibat dan cara dia beraksi turut mengingatkan semula kepada penyerang sensasi negara Faizal Saari ketika berusia 15 tahun - memiliki ketenangan, penyudah tajam dan larian pecut meninggalkan pertahanan yang begitu luar biasa.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan sebaik berakhir aksi final semalam kelihatan Pengarah Pembangunan 1 Mas, Tai Beng Hai cuba mendekatinya mungkin bagi diserap ke dalam pasukan remaja B-16 kebangsaan untuk ke Jerman.

Amirul ketika ditemui berkata, memang menjadi harapannya untuk terpilih ke Jerman bagi mewakili pasukan B-16 negara yang akan mengambil bahagian pada kejohanan jemputan Empat Negara di Mannheim.

“Memang saya amat gembira dengan kejayaan membantu Perak mengekalkan gelaran Kejohanan B-16 Kebangsaan ini buat tahun kedua berturut-turut.

“Saya berharap dengan kejayaan ini mampu membuka peluang untuk terpilih ke Jerman selain menjadi permulaan baik kepada saya memenuhi impian beraksi buat skuad Piala Sultan Johor negara,” katanya yang turut menjadikan Faizal sebagai idolanya.

Selain Amirul, beberapa rakan pasukannya seperti Zulhanif Sahran dan Firdaus Khairizan juga memperagakan potensi yang baik di samping pemain sayap kanan Johor, Alfarico Lance yang dinobat selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Turut tidak ketinggalan pemain terbaik kejohanan Amirul Aiman Ariffin yang membantu Melaka meraih tempat ketiga dan juga beberapa pemain dari Pulau Pinang dan Pahang.

Apa pun generasi pemain Kejohanan B-16 Kebangsaan kali ini membuktikan betapa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat hoki dan tidak mustahil mereka berpeluang mengulangi pencapaian skuad Projek 2013 yang menduduki tangga keempat pada Piala Remaja Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:05 PM