AMIRUL Asyraf dibantu rakannya mendapatkan nota kuliah di PIS, Pasir Gudang. FOTO Amirul Asyraf Mohd Aidi
AMIRUL Asyraf dibantu rakannya mendapatkan nota kuliah di PIS, Pasir Gudang. FOTO Amirul Asyraf Mohd Aidi
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, di sini, yang sebelum ini tular dengan kisahnya mencari alat pendengaran hilang bersyukur apabilamenerima alat pendengaran baru, semalam.

Amirul Asyraf Mohd Aidi, 20, berkata, alat pendengaran baru berharga RM40,000 itu diterima percuma dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas dia membayar kos ganti rugi alat pendengaran sementara yang dipinjamkan kepadanya oleh Labchem Sdn Bhd sebelum ini.

Dia turut melahirkan rasa syukur apabila Harian Metro membantu menyiarkan kisahnya dalam usahanya mendapatkan dana dan sumbangan bagi membayar ganti rugi RM21,000 sebelum mendapatkan alat pendengaran baru.

“Terima kasih HM kerana sudi bantu saya mencari dana. Saya sangat teruja kerana sekarang saya dapat mendengar seperti biasa.

“Mudah saya nak berkomunikasi dengan orang lain. Saya bersyukur sebab ramai sudi bantu saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Amirul Asyraf sebelum ini memuat naik status peribadinya di Facebook meminta orang ramai membantunya mengesan alat pendengarannya yang disedari hilang sebaik bas dinaikinya dari Kamunting, Perak tiba di Terminal Bas Larkin jam 8 pagi, 1 Julai lalu.

Dia terpaksa mendapatkan sumbangan orang ramai kerana alat pendengaran yang hanya dipinjamkan sementara dan perlu dipulangkan kembali itu gagal ditemui selepas melakukan pelbagai usaha mencarinya.

Alat pendengaran sementara itu perlu dipulangkan semula selepas permohonannya mendapatkan alat pendengaran baru dari HUKM diluluskan.

Apabila barangan terpakai itu hilang, Amirul Asyraf terpaksa membayar ganti rugi RM21,000 sebelum diberikan alat pendengaran baru.

Menurutnya, kos ganti rugi itu dapat dikumpul hasil sumbangan orang ramai dan sebahagiannya pula disumbangkan PIS yang mengambil inisiatif melancarkan tabung khas 17 Julai lalu bagi membantu pelajar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 3:27 AM