PEMAIN Perak, Azmil Muizzuddin Misron (kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Melaka, Muhammad Iqram Yahaya pada Kejohanan Hoki Lelaki dan Wanita Bawah 16 tahun Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. -Foto AIZUDDIN SAAD
PEMAIN Perak, Azmil Muizzuddin Misron (kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Melaka, Muhammad Iqram Yahaya pada Kejohanan Hoki Lelaki dan Wanita Bawah 16 tahun Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. -Foto AIZUDDIN SAAD
Naqib Nor Said


PERAK hanya setapak lagi untuk kembali mempertahankan gelaran Kejohanan Hoki bawah-16 tahun (B-16) Kebangsaan selepas membenam Melaka 1-0 dalam aksi di Stadium Hoki Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan skuad kendalian Abdul Sukur Adam membolehkan mereka menempah pertembungan final impian berdepan Johor, esok.

Muhammad Amirul Haniff Mamat muncul wira Perak apabila jaringan gol emasnya lapan minit sebelum tamat perlawanan memastikan kemenangan mereka.

Bagi jurulatih Melaka, Azrul Affendy Bistaman, walaupun tumbang kepada Perak, namun beliau tidak begitu kecewa selepas pemainnya berjaya menyaingi juara bertahan itu.

“Jurang permainan antara kedua-dua pasukan tidak begitu ketara, apa yang membezakan kami dengan Perak adalah kerana mereka memanfaatkan peluang gol itu.

“Apapun saya tidak kecewa dengan kualiti permainan anak-anak buah saya kerana berjaya memberi cabaran sengit kepada Perak,” katanya.

Melaka yang kali terakhir mara ke pentas final pada edisi 2010 bagaimanapun kini perlu berentap dengan Pahang dalam aksi penentuan penalti esok pagi bagi menentukan pemenang untuk ke perlawanan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, kejayaan mengikat Pulau Pinang 2-2 sudah memadai untuk memastikan Johor melangkah ke pentas final selepas mengungguli Kumpulan X dengan empat mata.

Skuad kendalian Mohd Nor Affazly Abdul Gaffar sepatutnya menang jika tidak kerana melepaskan gol minit akhir penyerang Pulau Pinang Zahirruddin Hamdan.

Dua gol Johor disumbangkan Muhamad Hafizz Fikri Zali seawal minit kelima dan Mohamad Fauzan Shah (m-54), dengan Zahirruddin turut meledak satu lagi jaringan pada minit ke-27.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 10:28 PM