Nik Mohd Azwan (tengah) berjaya raih Jersi Putih di peringkat ketiga LTdL. -Foto BERNAMA
Nik Mohd Azwan (tengah) berjaya raih Jersi Putih di peringkat ketiga LTdL. -Foto BERNAMA
Haika Khazi

PELUMBA Forca Amskins Racing Team (FAR), Nik Mohd Azwan Zulkiflie meraih Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia selepas menduduki tempat ketiga pada peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), hari ini.

Jersi berkenaan sebelum ini menjadi milik pelumba Korea Selatan, Seo Joonyong.

Perlumbaan peringkat ketiga yang membabitkan jarak 166 kilometer (km), bermula dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu itu dimenangi oleh pelumba, Rally Cycling, De Vos Adam.

Tempat kedua menjadi milik Kim Daeyeon mewakili KSPO Bianchi Asia Procycling (KSP) manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Anuar Manan menduduki tangga kelima.

Kemenangan itu membolehkan Adam merampas jersi Kuning selaku pendahulu perlumbaan daripada pelumba Itali, Riccardo Minali dari pasukan Astana Pro Team, yang memenangi peringkat kedua sejauh sejauh 208.3km dari Grik ke Kota Bharu, semalam.

Daeyon pula disarungkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut dengan mengumpul 27 mata apabila memastikan mata maksimum 15 di ketiga-tiga zon pecutan manakala Nik Mohd Azwan disarungkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia, 1 minit 10 saat di depan pemenang sebelum ini dari KSPO, Seo Joonyong.

Disebabkan tiada zon pendakian pada Peringkat 3 itu, pelumba Manzana Postobon, Bernardo Albeiro Suaza terus mengekalkan Jersi Merak Polka Dot selaku Raja Bukit bagi peringkat ketiga.

Sementara itu, Nik Mohd Azwan yang kini berada di kedudukan kedua terbaik senarai keseluruhan individu menyifatkan pencapainya bukan satu perkara mudah selepas melalui peringkat sukar dan mencabar dari Gerik ke Kota Bharu.

“Bukan mudah kerana selepas peringkat sukar dari Gerik semalam, jarak perlumbaan hari ini juga agak panjang. Tetapi dari awal, saya sudah nekad untuk mengutip mata di zon pecutan hari ini dan cuba merebut Jersi Putih.

“Walaupun kumpulan pemecah semakin berkurangan kepada hanya empat orang, kami bekerjasama untuk memastikan terus selesa di depan. Cuma ketika menghampiri garisan penamat, saya agak terlewat untuk mengejar Adam,” kata anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu.

“Ini antara persembahan terbaik saya dalam LTdL dan berharap dapat mengekalkan rentak selepas ini,” kata pelumba 28 tahun yang tampil buat kali kelima dalam LTdL itu,” katanya.

Sementara itu, De Vos yang juga pelumba kelahiran kelahiran British Columbia, Kanada dan berusia 24 tahun berkata pencapaiannya itu adalah satu kenangan amat manis kerana ini adalah kali pertama beliau memakai jersi Kuning dalam perlumbaan jelajah berstatus 2.HC.

“Rakan sepasukan banyak mengajar saya untuk bertindak sekiranya berada di dalam kumpulan pemecah. Jadi sebaik mengambil kedudukan di depan pada selekoh terakhir kira-kira 2 kilometer dari garisan penamat, saya terus berkayuh laju untuk mengekalkan tempat di depan, walaupun cuba dikejar tiga pelumba lain,”

kata De Vos yang menamatkan kayuhan sejauh 166km di Dataran Syahbandar itu dengan masa 3 jam 58 minit 18 saat.

Perlumbaan LTdL 2018 peringkat keempat esok akan diteruskan dari Dungun ke Pekan sejauh 177.6km, membabitkan tiga zon pecutan di Paka (KM17.5), Chukai (KM72.3) dan Balok (KM112.1) dengan hanya satu zon pendakian kategori 1 di Kijal (KM56.3).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:55 PM